LEGENDA Jerman, Andreas Brehme yang meledak penalti ketika gergasi dunia itu menjulang Piala Dunia Itali 1990 selepas menewaskan Argentina dalam perlawanan akhir, meninggal dunia pada usia 63 tahun, kata keluarganya.
Pemain pertahanan dan pakar sepakan bola mati tersebut membantu Jerman Barat ketika itu meraih kejuaraan ketiga apabila sepakan penaltinya memberikan pasukannya kemenangan 1-0 ke atas Argentina pacuan Diego Maradona di Rom.
"Seorang pemain yang hebat, peminat Inter yang hebat. Ciao Andy (Andreas Brehme), legenda selamanya,” kata bekas kelab Inter Milan di media sosial.
Sebagai rekod, Brehme juga pernah bermain untuk Bayern Munich dan Real Zaragoza antara lain sebelum bersara pada 1998 selepas kembali ke Kaiserslautern menjulang kejuaraan Bundesliga bersama The Reds Devils.
Dia juga memenangi kejuaraan liga Jerman bersama Bayern Munich sambil menjulang trofi Serie A dan Piala UEFA bersama Inter.
"FCK meratapi pemergian Andreas Brehme.
"Dia memakai baju The Red Devils selama 10 tahun dan menjadi juara Jerman dan juara Piala Jerman bersama FCK,” kata Kaiserslautern.
"Andreas Brehme akan selamanya berada di hati kami, sebagai pemenang Piala Dunia dan yang lebih penting, sebagai orang yang sangat istimewa.
"Dia akan selamanya menjadi sebahagian daripada keluarga FC Bayern,” kata Bayern Munich.
Brehme melakukan sebanyak 86 penampilan untuk Jerman, menjaringkan lapan gol, termasuk gol yang paling dingati penyokong-penyokong Jerman di Itali pada 1990.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28