KERAJAAN meningkatkan usaha dalam memastikan sektor ekonomi digital berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sektor itu ketika ini menyumbang kira-kira 23.3 peratus kepada KDNK dan menyasar menaikkan paras tersebut kepada 25.5 peratus menjelang 2025.
"Kami menggalakkan orang ramai untuk menyertai ekosistem ini (ekonomi digital). Ini adalah sesuatu yang semua orang harus melihatnya dengan serius kerana (ini) adalah bagaimana keadaan akan berlaku pada masa depan," katanya selepas melancarkan Karnival eUsahawan dan Gig 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Gobind berkata, infrastruktur dan ketersambungan adalah faktor penting dalam membangunkan ekonomi digital negara.
"Infrastruktur adalah mustahak. Ketersambungan adalah penting. Setelah anda dapat menyediakan infrastruktur dan ketersambungan kepada rakyat, persoalannya adalah bagaimana mereka akan mengguna dan memaksimumkannya bagi memberi manfaat kepada mereka dari segi ekonomi.
"Kita dapat lihat ramai orang yang telah mengambil bahagian dalam perniagaan ini (ekonomi digital) dan melihat kejayaan yang mereka capai dan keuntungan sebenar yang mereka jana menggunakan proses digital,” katanya.
Festival eUsahawan dan Gig 2024 anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) diadakan bertujuan untuk memupuk budaya digital dengan melengkapkan masyarakat termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) dengan kemahiran literasi untuk berkembang maju dalam sektor ekonomi digital.
Sementara itu, MDEC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada majlis tersebut berkata acara tersebut menawarkan peluang kepada usahawan, syarikat baharu, pekerja gig dan profesional digital untuk meningkatkan pengetahuan mereka bagi mencipta peluang pekerjaan, mempromosikan produk dan perkhidmatan menjangkau pasaran perniagaan lebih meluas melalui platform digital.
Melalui program eUsahawan, MDEC berjaya melatih seramai 563,543 usahawan di seluruh negara dan menjana jualan terkumpul lebih RM1.24 bilion sejak pelaksanaannya pada 2015. - Bernama