Perhilitan Johor tangkap dua ekor gajah jantan dewasa

Iklan
Perhilitan Johor berjaya menangkap dua ekor gajah jantan dewasa dalam operasi yang dijalankan sejak dua minggu lalu. - Foto: FB Ah Soon

KLUANG – Jabatan Perhilitan Johor berjaya menangkap dua ekor gajah jantan dewasa dalam satu operasi penangkapan di Jalan Kluang-Renggam dekat sini pada Selasa.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, operasi yang dijalankan sejak dua minggu lalu itu dibuat susulan haiwan berkenaan didapati telah merosakkan tanaman pertanian di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

"Hari ini (Selasa), Jabatan Perhilitan akan memindahkan dua ekor gajah itu ke kawasan Taman Negara dan saya datang bagi melihat sendiri situasi kerja Ops Translokasi dari Jabatan Perhilitan hari ini selain mendengar laporan daripada pengarah.

"Keadaan itu membuatkan kami terpaksa segera meninggalkan kawasan tersebut bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Untuk rekod, sejak 2020 hingga 2023, Jabatan Perhilitan Johor menerima lebih 1,500 aduan setiap tahun, 65 peratus adalah berkaitan gangguan monyet liar, diikuti oleh babi hutan (11 peratus) dan gajah (10 peratus).

Menurut statistik Jabatan Perhilitan Johor, kini terdapat kira-kira 120 hingga150 ekor gajah di seluruh Johor terutamanya di sekitar Kota Tinggi, Kluang, Segamat dan Mersing.

Iklan

Sementara itu dalam kenyataan sama, Tian Soon berkata, Jabatan Perhilitan Johor hanya mempunyai kira-kira 110 pegawai dari pelbagai peringkat yang bertanggungjawab untuk urusan pentadbiran, penguatkuasaan undang-undang, perlindungan dan penangkapan haiwan.

"Kesemua mereka ini, telah membentuk satu pasukan khas yang khusus untuk menangani aduan berkaitan gajah, selain dilatih untuk mengusir dan menangkap gajah.

"Pada masa sama, Jabatan Perhilitan Johor telah membina Pusat Perlindungan Gajah seluas kira-kira 30 hektar di Kota Tinggi, dengan harapan untuk menempatkan beberapa gajah di sana, kelak,” katanya.