THE HAGUE -"Penduduk Palestin hidup menderita dan menjadi mangsa dasar aparteid di bawah pendudukan Israel.”
Kenyataan itu dizahirkan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ketika meminta panel hakim menamatkan segera pencerobohan tanpa syarat ke atas wilayah Palestin.
"Ada pihak yang mungkin berasa terpukul dengan kenyataan saya ini. Tetapi, mereka perlu letakkan diri dalam realiti yang penduduk Palestin terpaksa hadapi hampir pada setiap hari,” tegasnya.
Tribunal berpusat di The Hague itu mengadakan sesi pendengaran awam sepanjang minggu ini berhubung implikasi undang-undang terhadap pendudukan Israel sejak 1967 yang bakal menyaksikan 52 negara termasuk Rusia tampil mengemukakan bukti berkaitan.
"Keadilan sengaja ditangguhkan adalah hak keadilan yang dinafikan. Penduduk Palestin telah menjadi mangsa ketidakadilan sejak sekian lama.
"Sudah sampai masanya untuk menamatkan sikap dwistandard yang menyebabkan populasi itu terus sengsara dalam cengkaman rejim Tel Aviv,” ujarnya.
Pada Disember 2022, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) meminta ICJ memberikan saranan atau nasihat sewajarnya tentang akibat kepada undang-undang yang mungkin timbul daripada amalan dan dasar Israel di wilayah didudukinya termasuk Baitulmaqdis Timur.
Walaupun cadangan yang dikemukakan tidak terikat, ia dianggap penting di tengah-tengah undang-undang antarabangsa yang semakin meningkat terhadap kezaliman Israel yang melancarkan perang genosid di Genting Gaza.
Difahamkan, sesi tersebut adalah berbeza dengan kes berprofil tinggi yang dikemukakan Afrika Selatan berhubung tindakan pembunuhan beramai-ramai dilancarkan rejim Zionis ke atas penduduk Gaza.
Al-Maliki turut sekali lagi menyebut istilah genosid yang sedang berlaku di enklaf tersebut akibat daripada sikap tidak peduli komuniti antarabangsa sejak beberapa dekad lalu.
"Tindakan menghentikan kekejaman Israel adalah bersifat imperatif,” jelasnya lagi.
HARAPAN BAHARU PALESTIN
Pada Januari lalu, kegagalan ICJ untuk mengarahkan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza menerima kritikan banyak pihak. Malah, ia hanya menggesa Israel supaya menghentikan sebarang tindakan yang kononnya boleh membawa kepada genosid.
Tribunal itu juga menolak tuntutan Pretoria untuk mengenakan langkah tambahan ke atas Tel Aviv ketika komuniti antarabangsa mula mempersoalkan fungsi ICJ dalam mempertahankan hak Palestin.
Kumpulan penunjuk perasaan pro-Palestin turut berhimpun di luar pekarangan mahkamah dunia berkenaan sebagai tanda solidariti dengan penduduk Gaza.
"Saya berharap keadilan dapat ditegakkan dan dapat memberi tekanan kepada Israel bagi menuntut dasar yang lebih berperikemanusiaan. Langkah ini akan membawa kepada usaha membebaskan penduduk Palestin,” menurut penganjur protes itu, Nadia Slimi.
ICJ dijangka memuktamadkan keputusan segera tentang isu pendudukan Israel yang dikemukakan UNGA menjelang akhir tahun ini.
Difahamkan, Israel tidak menyertai sesi tersebut setelah mereka dengan angkuh menolak tuntutan PBB pada 2022 yang kononnya disifatkan sebagai memalukan dan tidak berasas.
Dalam pada itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) percaya walaupun ICJ hanya mengeluarkan saranan tidak terikat, ia masih boleh membawa kuasa moral dan undang-undang yang besar serta berpotensi termaktub dalam undang-undang antarabangsa. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28