SHAH ALAM - Seorang nenek kepada empat cucu mengakui berjaya menghafal hampir 1,000 patah perkataan bahasa Arab melalui aplikasi pendidikan, Think Quran.
Intan Abdul Kadir, 53, berkata, dia mengenali aplikasi tersebut sejak Ogos 2022 dan agak ragu-ragu pada mulanya kerana tiada asas pengetahuan bahasa Arab.
Bagaimanapun, Intan yang juga suri rumah itu mengakui Think Quran sangat memudahkan proses pembelajaran untuk fahami bahasa al-Quran dan lama-kelamaan serasi menggunakannya.
"Pada mulanya rasa macam boleh ke belajar lagi, sebab saya dah berumur, tetapi Think Quran ini memang aplikasi yang sangat hebat. Secara tak langsung, kita boleh ikut belajar, walaupun prosesnya perlahan tapi banyak pencapaian yang kita dapat.
"Sejak setahun lebih saya gunakannya, sudah 1,000 patah perkataan saya hafal sebab ia seperti permainan yang melatih minda,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabat Think Osem Sdn Bhd pada Rabu.
Think Osem Sdn Bhd merupakan syarikat membangunkan aplikasi Think Quran dan telah melancarkan kempen #FahamKhatamAlQuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Karya Bestari pada 12 Januari lalu bagi menggalakkan orang ramai membaca dan memahami al-Quran.
Intan turut menambah, apabila memasuki usia warga emas, perkara yang menjadi keutamaan ketika ini adalah memperbaiki hubungan dengan ALLAH SWT dengan memahami secara mendalam firman-Nya di dalam al-Quran.
Menurutnya lagi, pencapaian terhebat selepas menggunakan aplikasi berkenaan ketika berjaya khatam al-Quran pada bulan Ramadan.
"Jadi apabila ada peluang sebegini (mempelajari Think Quran), memang saya sangat suka. Ada 900 perkataan bahasa Arab dari al-Quran sering diulang-ulang.
"Kalau kita ingat kesemua perkataan itu, maka kita dah hafal lebih 80 peratus kandungan al-Quran,” ujar Intan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28