Mata wang, kemudahan awam bagus jadi pilihan kerja di Singapura

Iklan
Singapura menjadi pilihan ramai pekerja dari Malaysia kerana faktor tukaran mata wang dolar yang terus kukuh berbanding ringgit. Gambar kecil: Siti Fatimatulzahara, Mariah

JOHOR BAHRU - Singapura sudah lama dianggap sebagai tempat terbaik untuk tinggal dan bekerja kerana politiknya stabil, mengamalkan standard dan sistem negara maju, keselamatan sosial terjamin serta paling penting mata wangnya.

Faktor itu terus mendorong rakyat tempatan bukan sahaja orang Johor malah dari negeri lain sanggup menyeberang Tambak Johor untuk mencuba nasib dan mencari rezeki di negara jiran tersebut yang paling hampir dengan Malaysia.

Iklan
Iklan

Siti Fatimatulzahara Abdul Jamil, 29, berkata, dia mula serasi dan dapat mengadaptasi gaya hidup serta budaya kerja di Singapura.

Dia yang dinaikkan pangkat sebagai pengurus di sebuah rangkaian perniagaan makanan dan minuman (F&B) sejak setahun lalu mula bekerja di republik itu sejak tiga tahun lalu.

Iklan

"Saya mula bekerja dalam perniagaan F&B daripada bawah melibatkan semua operasi daripada berurusan dengan pelanggan sebelum belajar tentang kemahiran pemasaran, kemahiran pengurusan masa dan kepimpinan.

"Tarikan utama bekerja di Singapura sudah tentu kerana mata wangnya, ini akan membolehkan saya menyimpan dan melabur pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Iklan

Katanya, keistimewaan lain membuatkannya terus mencari rezeki di republik itu kerana persekitaran selamat dan kondusif selain kebersihan serta kemudahan awam yang bagus.

"Begitu juga kerajaan Singapura amat bagus dalam perancangan membangunkan negara dan mempunyai sistem serta kemudahan awam yang terbaik dan berkesan.

"Rakyat Singapura juga berdisiplin dan berintegriti. Tidak dinafikan memang ada berlaku kelewatan dalam hal tertentu tetapi tidaklah terlalu teruk, boleh kata semua aspek di sini mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran sebuah syarikat, Mariah Salihin, 34, mengakui faktor mata wang menjadi sebab utama berhijrah ke republik itu sejak 2020.

Pilihannya itu kata Mariah, amat tepat kerana tidak perlu bersesak ke tempat kerja kerana tinggal di republik tersebut berbeza dengan orang lain yang berulang-alik dari bandar raya ini.

"Senang ke tempat kerja, jalan kaki lima minit sahaja ke tempat tunggu bas, kemudian tak sampai 10 minit bas sampai, perkhidmatan MRT (Transit Aliran Massa) pula selalu on time. Sangat mudah dan jimat masa ke tempat kerja,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28