Teksi pink bakal lenyap

Iklan
Antara teksi pink yang menjadi ikon kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pangkor.

PERKHIDMATAN teksi merah jambu (pink) yang menjadi ikon di Pulau Pangkor, Lumut, Perak bakal hilang susulan berlakunya lambakan kereta dan motosikal sewa haram.

Pengunjung yang tiba di Jeti Pulau Pangkor akan didekati oleh ‘ulat’ yang menawarkan kenderaan sehingga aktiviti tersebut menenggelamkan peranan pemandu teksi yang juga duta kecil pelancongan pulau itu.

Iklan
Iklan

Masalah berlarutan hampir 20 tahun itu menjejaskan pendapatan pemandu teksi yang dipandu oleh penduduk tempatan. Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, Noor Ainon Mohamed Yusof bersama abang teksi pink.

------

Iklan

Kewujudan kereta dan motosikal sewa yang beroperasi secara haram perlahan-lahan akan membunuh sumber pendapatan utama lebih 100 pemandu teksi pink di pulau berkenaan.

KHAIROL AZIZI

Pemandu teksi pink, Khairol Azizi Abdul Rahman, 36, berkata, aktiviti kereta dan motosikal sewa haram itu menjejaskan lebih 60 peratus pendapatan pemandu perkhidmatan teksi pink.

Iklan

Menurutnya, musim perayaan merupakan ‘lubuk emas’ untuk memperoleh pendapatan lebih berikutan pelancongan merupakan sumber utama ekonomi penduduk di pulau itu.

"Saya berhabis banyak wang termasuk menjual kedai bagi membeli sebuah van untuk dijadikan teksi. Ini kerana industri pelancongan Pulau Pangkor beberapa tahun lalu sangat rancak dengan lokasi-lokasi menarik, makanan yang enak selain sudah menjadi pulau bebas cukai.

Khairol Azizi menyantuni pengunjung yang menggunakan perkhidmatan teksi pink ketika tiba di sebuah hotel di Teluk Dalam, Pulau Pangkor.

"Kini kalau hendak teruskan kerja ini saya rasa tidak berbaloi. Musim perayaan inilah kami berharap dapat pendapatan lebih tetapi dicantas oleh golongan yang mengusahakan kereta dan motosikal sewa haram ini. Selalunya musim cuti boleh dapat sekitar RM600 tapi tahun ini hendak dapat RM300 pun susah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Khairol Azizi mendakwa, operasi kereta dan motosikal sewa haram itu disifatkan membahayakan kerana tiada perlindungan insurans.

"Kita tidak boleh halang pengunjung untuk memilih perkhidmatan sewa ini tetapi ia amat berbahaya kepada mereka dan penduduk tempatan.

"Banyak kemalangan berlaku tetapi pemilik kenderaan itu akan selesaikan kes ikut cara sendiri. Jika kemalangan terjadi dalam kalangan ahli keluarga saya, sudah tentu tindakan tegas akan diambil,” katanya.

SHAHRIZAL

Seorang lagi pemandu teksi pink, Shahrizal Saed, 38, mendakwa, operasi kereta dan motosikal sewa haram sekitar pulau itu didalangi oleh penduduk tempatan.

"Lebih mengecewakan ejen-ejen kereta dan motosikal sewa haram ini akan memburukkan imej pemandu teksi dengan menyebarkan khabar palsu kononnya harga yang dikenakan mahal hingga ratusan ringgit untuk seorang pelanggan.

"Hakikatnya, harga sebenar kami serendah RM10 manakala untuk mengelilingi pulau pula hanya RM100 untuk satu van. Harga ini mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)," katanya.

Tindakan kereta awam dipercayai kenderaan sewa parkir di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor menyukarkan pergerakan jentera pasukan penyelamat.

Justeru, Shahrizal menggesa agensi kerajaan terlibat termasuk Majlis Perbandaran Manjung (MPM) supaya bertindak tegas terhadap khidmat kenderaan haram itu.

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Jamie berkata, sikap ‘ulat’ kereta dan motosikal sewa haram itu yang rakus mengejar pelanggan di jeti telah menyusahkan pasukan penyelamat bomba kerana mereka meletakkan kenderaan masing-masing di hadapan pintu utama jentera Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor.

Menurutnya, keadaan sesak akibat kereta dan motosikal sewa haram itu boleh dilihat pada waktu kemuncak antara jam 11 pagi dan 2 petang.

"Pernah saya lihat bomba mahu keluar ke lokasi kejadian kemalangan melibatkan mangsa jatuh gaung menjadi sukar kerana kereta dan motosikal sewa haram ini menghalang laluan.

"Begitu juga apabila jentera bomba hendak masuk ke dalam balai, pasukan keselamatan ini terpaksa menunggu sehingga pemilik mengalihkan kenderaan mereka,” katanya.

Sikap tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja boleh membahayakan nyawa malah turut menyebabkan kerugian besar sekiranya berlaku kecemasan, katanya.

PUTUS ASA ADUAN TIDAK DIENDAHKAN

Aduan yang diajukan umpama ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’ kerana tiada satu pun tindakan diambil bagi mengekang aktiviti kenderaan sewa haram di pulau yang hanya mempunyai keluasan 18 kilometer persegi itu.

MUHAMMAD APENDI

Pengerusi Persatuan Teksi Van Pink Pangkor, Muhammad Apendi Ramli berkata, operasi 120 teksi pink adalah berlesen dan kenderaan digunakan menjalani pemeriksaan ketat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Kumpulan kereta dan motosikal sewa haram ini akan menawarkan pelbagai harga supaya pengunjung menggunakan perkhidmatan mereka.

"Kami cukup terganggu dengan kehadiran mereka yang bukan sahaja beroperasi tanpa permit malah ada kenderaan yang digunakan tidak mempunyai cukai jalan dan dilindungi insurans,” dakwanya.

Lambakan motosikal sewa dilihat memenuhi ruangan parkir di tepi Jeti Pulau Pangkor

Justeru, beliau merayu kepada pihak berwajib agar mengambil tindakan segera terhadap pengendali kereta dan motosikal sewa haram itu.

"Kalau boleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ambil tahu perkara ini.

"Aduan telah diadukan kepada Exco Pelancongan negeri menerusi Hari Bertemu Pelanggan di empat lokasi berbeza tahun lalu namun sehingga kini tiada tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya kemasukan kenderaan persendirian ke Pulau Pangkor dihadkan agar isu itu dapat dikekang.

Pihaknya percaya jika tiada tindakan diambil, ramai pemandu teksi yang sah akan bertukar kerjaya dengan menjadi pemandu kereta sewa haram kerana tidak perlu menanggung kos yang tinggi seperti membayar permit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28