SHAH ALAM - Seorang wanita kurang upaya (OKU), Jaheerah Nadzri, 30, yang mesra dengan panggilan Eerah teruja dengan kehadiran anak sulung Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar di gerainya di Kota Warisan Sepang.
Menerusi perkongsian di TikToknya, Eerah turut mempamerkan teknik memasak burger kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sekali gus menarik perhatian pelanggan yang lain.
"Syukur alhamdulillah. Terima kasih Nurul Izzah datang ke gerai Eerah Burger.
"Semua ada bagi sokongan kepada Eerah,” katanya melalui kapsyen video di aplikasi TikTok yang berdurasi 22 saat itu.
Video yang mula dimuat naik sejak Isnin itu sehingga kini mendapat tontonan sebanyak 151,400 dan 7,550 tanda suka.
Kegigihan wanita istimewa itu mencari rezeki di sebalik kekurangan dirinya mendapat perhatian serta turut popular dalam kalangan pengguna media sosial dengan mempunyai lebih 540,000 pengikut.
Eerah juga kerap berkongsi aktiviti harian sebagai penjual burger dan solekan nipis selain beriadah ditemani bapa tercinta, Nadzri Abd Majid, 66.
Dalam pada itu, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi keterujaannya singgah di gerai wanita tersebut.
Menurutnya, selain berpeluang merasai sendiri burger itu, beliau turut menempah 200 biji makanan kegemaran ramai tersebut untuk diagihkan kepada rumah anak-anak yatim berhampiran.
Katanya, ahli keluarga Eerah turut membantu dalam penyediaan burger tersebut dan beliau melakukan penghantaran sendiri.
"Ia diberikan kepada anak-anak yatim Baitus Sakinah Hidayah dan Baitul Barokah Wal Mahabbah,” ujarnya.
Selain itu, Nurul Izzah turut menyatakan kagum melihat usaha anak muda berstatus OKU seperti Eerah kerana tidak malu dengan kekurangan diri sendiri.
"Eerah kongsi dengan saya, dia mahu rakan-rakan OKU lain terus berusaha dengan cara yang tersendiri,” jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28