Malaysia perlu ikut jejak Indonesia lindungi hak media

Iklan
Sebahagian daripada Ketua Pengarang dan Pengarang Urusan syarikat media yang juga pemimpin tertinggi Iswami Malaysia turut berpeluang menyaksikan HPN Indonesia 2024 yang dirasmikan oleh Jokowi. Foto Bernama

JAKARTA - Malaysia harus mengikut jejak Indonesia dengan menggubal undang-undang yang mewajibkan perlindungan dan memaksa gergasi teknologi seperti Google dan Meta untuk memberikan bayaran yang adil bagi kandungan berita yang disiarkan.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami), Ashwad Ismail berkata, Peraturan Presiden (Perpres) yang berkaitan dengan hak penerbit industri media di negara itu akan menyediakan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak dan pada masa sama memastikan kelestarian kewartawanan.

Iklan
Iklan

"Kelulusan Presiden Jokowi (Joko Widodo) terhadap deklarasi Perpres di Indonesia juga memastikan kelestarian perniagaan media,” katanya dalam sidang akhbar selepas Puncak Peringatan Hari Pers Nasional (HPN) 2024 di Ancol, di sini pada Selasa.

Ashwad Ismail. Foto Bernama

Seramai 30 pengamal media Malaysia, termasuk 16 orang Ketua Pengarang dan Pengarang Urusan syarikat media yang juga pemimpin tertinggi Iswami Malaysia turut berpeluang menyaksikan HPN Indonesia 2024 yang dirasmikan oleh Jokowi.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, kunjungan rombongan Iswami Malaysia kali ini ternyata bukan semata-mata bagi meraikan Hari Pers Nasional atau Hari Wartawan Indonesia.

Jelasnya, kunjungan kali ini lebih bermakna apabila delegasi Malaysia dapat mendengar sendiri pengumuman yang dibuat Presiden Jokowi berkaitan Perpres di Indonesia.

Iklan

"Perpres ini adalah perjuangan media-media dunia untuk menuntut gergasi teknologi seperti Meta, Google dan TikTok berkongsi pendapatan dengan media bagi semua kandungan yang tersiar di platform mereka.

"Walaupun kita belum mendapat penerangan terperinci mengenai Perpres ini, tetapi bagi saya ini adalah masa terbaik untuk media Malaysia turut membawakan perjuangan yang sama.

"Media Malaysia perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan atau khususnya Kementerian Komunikasi untuk menjayakan akta ini," ujar beliau.

Terdahulu, Jokowi dalam ucapannya mengumumkan telah menandatangani Perpres.

Beliau menjelaskan, Perpres adalah salah satu usaha kerajaan untuk menyokong syarikat media konvensional.

Ujar beliau, Perpres terlaksana hasil daripada aspirasi masyarakat akhbar.

Kerajaan katanya, tidak mengawal kandungan akhbar, tetapi mengawal hubungan perniagaan antara akhbar dan platform digital.