JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah penjagaan sanggup berpura-pura menjadi mangsa penderaan majikannya hanya kerana mahu pulang ke negara asal.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tindakan wanita dipercayai berusia lingkungan 40-an itu dikesan menerusi sebuah video tular di TikTok, pada Selasa.
"Video terbabit memaparkan seorang wanita warga Indonesia mendakwa dirinya didera oleh majikan semasa bekerja sebagai tukang bersih dan pembantu di sebuah ‘nursing home’ di daerah ini.
"Susulan itu, Ketua Polis Balai Taman Pelangi bersama wakil Kedutaan Indonesia di negeri ini telah ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Raub, hasil siasatan dan temu bual yang dijalankan ke atas wanita itu dan majikannya mendapati tiada sebarang unsur penderaan berlaku.
"Sebaliknya, wanita itu mendakwa sedemikian kerana mahu pulang ke negara asalnya.
"Wanita itu kemudian diserahkan kepada pihak kedutaan untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai diminta mengesahkan dulu kesahihan setiap kandungan video diterima sebelum disebarkan dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas pihak yang menyebarkan berita tidak sahih," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28