SABAK BERNAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Selangor telah membuat pembayaran faedah sebanyak RM46,000 kepada Suri Rumah Berinsurans (SRB) menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh setahun pada tahun lalu.
Beliau berkata, bagaimanapun jumlah bayaran itu dianggap rendah kerana masih ramai lagi mereka yang layak di negeri ini tidak mencarum SKSSR.
"Kalau ikut data tahun lalu, kita hanya ada seramai 12,984 suri rumah mencarum dalam SKSSR," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Penyampaian Skuad Prihatin PERKESO di rumah waris pencarum di Kampung Parit 10 Gambut Sungai Besar di sini pada Rabu.
Pada majlis itu, Ismail menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 serta Kotak Prihatin Perkeso kepada Muhamad Riduan Yahya, 49.
Ismail memberitahu, setakat Februari ini, hanya 505 suri rumah di Selangor mendaftar menerusi skim tersebut.
"Ini bermakna hanya ada lima peratus di negeri ini yang mencarum sedangkan skim diperkenalkan kerajaan pada tahun 2022 ini mempunyai banyak faedah perlindungan kepada pencarum dan waris.
"Bagaimanapun, pada tahun ini, kita menyasarkan 30,000 suri rumah layak untuk mendaftar SKSSR", jelas beliau.
Beliau memberitahu, sesiapa sahaja suri rumah warganegara layak termasuk mereka yang bekerja dan belum mencapai usia 55 tahun layak mencarum.
Katanya, pencarum atau suami hanya perlu membayar RM120 setahun dan sekiranya ditimpa kemalangan, penyakit atau apa-apa insiden waris akan menerima pencen penakat RM300 sebulan dan bayaran faedah pengurusan mayat RM2,000.
Sementara itu, Riduan berkata, dia tidak menyangka Allahyarham isterinya, Asmahwati Yaakob, 44, mencarum di bawah SKSSR.
Riduan memberitahu, perkara itu hanya dimaklumkan oleh pegawai PERKESO bahawa arwah isterinya mencarum pada 10 November tahun lalu.
"Arwah tidak pernah memberitahu dia mencarum sehingga meninggal dunia selepas terjatuh dalam bilik air akibat serangan jantung," jelasnya.
Ujar bapa lima anak itu, Allahyarham isterinya itu meninggal dunia pada jam 9.30 pagi pada 13 Disember tahun lalu.
"Faedah caruman yang saya peroleh ini akan digunakan untuk urusan tiga anak saya masih bersekolah dan diharap dapat meringankan beban kami sekeluarga," jelasnya.
CAPTION
Ismail (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan PERKESO kepada Riduan (empat dari kiri) pada Penyampaian Skuad Prihatin PERKESO di rumah waris pencarum di Kampung Parit 10 Gambut Sungai Besar di sini pada Rabu.