KOTA BHARU - Seorang pemandu pelancong di Royal Belum sanggup memandu bot hampir dua jam dari jeti di Royal Belum ke Jeti Aman Jaya, Pulau Banding untuk menyerahkan semula dompet seorang guru yang tertinggal di lokasi itu.
Azizan Ab Aziz, 36, berkata, sebelum bertolak ke Royal Belum, dia menemui dompet dalam sebuah bot di Jeti Aman Jaya dan terus mencari pemiliknya, namun dimaklumkan beberapa individu sekitar bahawa lelaki itu sudah pergi ke arah Kelantan.
Azizan bagaimanapun cuba menjejakinya dengan menghubungi rakan-rakan dan kakaknya yang bekerja di Kelantan tetapi gagal.
"Pada masa sama saya terpaksa membawa pelancong ke Royal Belum mengikut masa yang ditetapkan.
"Saya berusaha memuat naik gambar lesen pemilik dompet yang bernama Ikram di media sosial kerana buntu untuk mencari lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Bagaimanapun katanya, beberapa jam kemudian ketika berada di Royal Belum, dia dapat menghubungi Ikram hasil maklumat beberapa rakan selepas ditularkan di WhatsApp dan media sosial lain.
"Dia terkejut kerana tidak perasan dompetnya tertinggal tetapi sudah tiba di Kota Bharu.
"Selepas berbincang, Ikram bersetuju mengambil dompet itu di lokasi sama.
"Demi memastikan dokumen penting itu selamat, saya meninggalkan kumpulan pelancong bersama rakan sekerja dan memandu bot ke Jeti Aman Jaya," katanya.
Azizan bersyukur kerana dapat menyerahkan sendiri dompet itu dan tidak mempercayai individu lain.
"Lagipun semua kawan-kawan rapat saya tidak menuju ke Kelantan dan dokumen seperti MyKad dalam dompet itu sangat penting," katanya.
Azizan juga memaklumkan dia akan memandu sejauh 35 kilometer jika mahu menyerahkan dompet itu di Balai Polis Grik.
Sementara itu, pemilik dompet, Muhammad Ikram Alias, 28, bersyukur apabila barang peribadinya dikembalikan dalam keadaan baik tanpa kehilangan wang dan dokumen penting.
Berkongsi kejadian itu, Muhammad Ikram mengakui menyedari dompetnya tertinggal di jeti selepas dihubungi Azizan.
"Saya singgah di jeti itu kira-kira jam 8 pagi untuk mengambil gambar bersama tiga rakan lain di atas bot manakala dompet diletakkan berdekatan," katanya.
Menurut Muhammad Ikram, sepanjang perjalanan dia tidak perasan ketiadaan barang penting itu kerana membuat pembelian melalui dalam talian yang hanya menggunakan telefon bimbit.
Guru sebuah sekolah menengah itu tiba di Kota Bharu pada jam 11.30 pagi dan mengambil keputusan pergi semula ke Tasik Banding kira-kira jam 3 petang hari sama untuk mengambil MyKadnya berikutan ada urusan penting di Kota Bharu.
"Saya tidak kisah memandu selama lebih tiga jam sejauh hampir 190 kilometer untuk ke sana semula.
"Lagipun saya kagum dengan kejujuran Azizan dan memang sukar mencari individu yang sangat ikhlas membantu menyimpan hak milik orang lain dengan baik.
"Dia bukan sahaja berkali-kali meminta saya memeriksa dokumen dalam dompet malah menolak sagu hati ikhlas daripada saya," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28