Kod Etika Wartawan perlu diamalkan oleh 'citizen journalist'

Iklan
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan semalam bukan sahaja tertakluk kepada pengamal media arus perdana, malah ia juga perlu diamalkan para wartawan warga (citizen journalist) yang terlibat dengan sebarang penyampaian maklumat.

Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara, Profesor Madya Dr Jessica Ong Hai Liaw berkata, kod etika berkenaan yang telah menggariskan lapan tanggungjawab antaranya berkaitan kesahihan dan ketepatan maklumat serta privasi sumber, merupakan elemen penting yang perlu diamalkan.

Iklan
Iklan

"Sebagai contoh apabila kita sedang melaporkan berita-berita yang sedih dan ada kalanya mangsa-mangsa ini tidak mahu ditemu bual atau didedahkan identiti mereka, maka tidak perlu untuk kita (media) mengeluarkan nama atau sebagainya (sebaliknya) dengan cara kita sendiri kita sampaikan maklumat itu dengan tepat dan sahih.

"Cuma saya nampak ada dalam kalangan orang awam yang menyiarkan video tanpa izin, sebagai contoh zaman sekarang ini masing-masing ada kamera di kereta dan sebagainya jadi telah disebarkan, perkara seperti itu perlu diambil berat,” katanya ketika menjadi tetamu pada program bual bicara Jendela Fikir terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, kod etika berkenaan juga dilihat mampu melonjakkan profesionalisme kewartawanan selain dapat membantu masyarakat untuk mendapatkan maklumat mereka berkenaan sesuatu perkara di saluran yang betul.

"Saya menyeru semua masyarakat untuk melihat kepada berita yang betul...kita ada hak untuk membaca (mana-mana sumber) tetapi kita kena pandai menilai dan celik untuk memilih yang terbaik dan jangan cepat terpengaruh,” katanya.

Iklan

Kod Etika Wartawan Malaysia yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), menggariskan lapan tanggungjawab utama wartawan.

Selain sebagai suara masyarakat majmuk dan menjadi agen pemudah cara dialog, wartawan juga perlu telus dan berintegriti apabila menjalankan tanggungjawab.

"Mereka juga digalakkan supaya konsisten berlaku adil dalam menyampaikan maklumat dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi,” katanya. - Bernama