SUBANG - Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud selamat diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Subang untuk dibawa pulang ke Kuching, Sarawak.
Jenazah Allahyarham diterbangkan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 Hercules yang berlepas pada jam 1.58 tengah hari dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 4.30 petang.
Terdahulu, jenazah tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang pada jam 1.05 tengah hari sebelum diberi penghormatan terakhir.
Turut berkenan memberi penghormatan terakhir, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan beberapa menteri lain.
Jenazah kemudian diusung oleh sembilan gabungan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sebelum dibawa memasuki pesawat.
Menerusi kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak memaklumkan jenazah akan terus dibawa ke rumah Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako.
Jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) esok dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai jam 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.
Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada jam 4.40 pagi ini dan pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak, apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini. - Bernama