SHAH ALAM - Rabithah Alawiyah Malaysia (RAM) menegaskan bahawa pertubuhan itu tidak mempunyai hubungan dan terlibat sama sekali dalam menjemput, menganjur serta melaksanakan sebarang aktiviti atau program yang dijalankan oleh Mawla Mohamed Amin al-Hassani dan pengikutnya.
Pengerusinya, Datuk Syed Hood Syed Edros Al-Aydrus berkata, RAM tidak sewenang-wenangnya menjalankan aktiviti dengan mana-mana pihak tanpa membuat semakan teliti terhadap individu tersebut dan mendapat kebenaran agensi berkaitan.
"Pertubuhan ini tidak menggalakkan dan menyokong apa-apa usaha dijalankan individu untuk membuat kutipan, pungutan derma dan sumbangan yang dikaitkan dengan habib kecuali ia mendapat kebenaran daripada pihak berwajib.
"RAM mempunyai hubungan rapat dengan Rabithah Alawiyah Indonesia (RAI) dan Dar al-Mustafa di Tarim, Yemen ingin tegaskan kami tidak melaksanakan aktiviti kecuali ia bersesuaian dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta undang-undang.
"Jabatan Hal Ehwal Nasab RAM juga tidak pernah terlibat dan menerima permohonan perakuan nasab daripada individu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, media melaporkan Mawla Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj yang sebelum ini mengaku daripada keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW kini dalam pemerhatian pihak polis.
Menurut laporan itu, lelaki warganegara Maghribi dan pengikutnya didakwa telah membuat kutipan dana awam secara haram di Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pergerakan individu dan kumpulan terbabit sedang dipantau termasuk madrasah di Selangor yang aktif mempromosi kutipan berkenaan.
Tambah Syed Hood, RAM meminta mana-mana pertubuhan, persatuan atau individu yang ingin menjemput habib terutama dari luar Malaysia supaya berbincang dan mendapatkan pandangan pihaknya.
"Ia bertujuan apa sahaja yang dilaksanakan tidak membawa fitnah kepada habib terutamanya terhadap usaha dakwah ini secara keseluruhannya.
"RAM bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menjalankan segala usaha dakwah yang baik, teratur, terancang dan menepati kehendak undang-undang negara,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28