Edar dadah, dua rakan dipenjara seumur hidup

Iklan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Tindakan dua rakan mengedar 0.3 kilogram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lalu mengundang padah apabila mereka dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Rabu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Lee Chuen Hoe, 44, dan Chen Kok Kwong, 59, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

Semasa membaca keputusan penghakiman, hakim ini berkata, dadah tersebut didapati berada bawah jagaan Chuen Hoe selaku tertuduh pertama dan tertuduh kedua iaitu Kok Kwong.

Menurutnya, mereka mengetahui tujuan dadah tersebut (seperti mana yang dipertuduhkan adalah untuk mengedar).

Iklan

"Mereka didapati bersalah atas pertuduhan berkenaan, maka tertuduh pertama dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan manakala tertuduh kedua, penjara seumur hidup.

"Hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 21 Jun 2021,” katanya.

Iklan

Semasa prosiding, peguam, Syaheera Rosli mewakili Chuen Hoe memohon hukuman pemenjaraan memandangkan hukuman gantung sampai mati telah dimansuhkan selain anak guamnya memberikan kerjasama yang baik sepanjang prosiding kes itu.

Kok Kwong yang diwakili peguam, Manveer Singh pula, memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang rendah atas faktor umur serta perlu menanggung ibu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed pula memohon kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman mati dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh serta keseriusan kesalahan itu.

Dalam pada itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh ketiga, So Hoong Piau, 29, daripada pertuduhan itu selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadapnya.

Pada tahun 2022 lalu, ketiga-tiga tertuduh itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan, bersama-sama mengedar dadah itu di hadapan Pusat Rawatan Kiropraktik Ling Chiropractic Care, Jalan Perkasa, Aked Esplanad di Bukit Jalil pada 6.20 petang, 21 Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman mati.

Pada tahun lalu, mahkamah memerintahkan mereka membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Seramai enam saksi memberi keterangan dalam perbicaraan kes di peringkat pendakwaan yang bermula 13 Mac tahun lalu.

Perbicaraan di peringkat pembelaan pada 5 Disember 2023 pula, memanggil tujuh saksi termasuk tiga tertuduh itu, untuk memberi keterangan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28