Gaji permulaan kompetitif bendung penghijrahan jurutera tempatan

Iklan
Penetapan kadar gaji permulaan kompetitif mampu wujudkan trajektori laluan kerjaya serta keupayaan jurutera tempatan sekali gus mampu mbendung penghijrahan jurutera tempatan ke luar negara. Foto 123RF. Gambar kecil: Norlida

SHAH ALAM - Penetapan kadar gaji permulaan yang kompetitif mampu mewujudkan trajektori laluan kerjaya serta keupayaan jurutera tempatan sekali gus mampu membendung penghijrahan jurutera tempatan ke luar negara.

Sehubungan itu Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Dr Norlida Buniyamin menyarankan pihak berkepentingan meningkatkan keupayaan syarikat untuk menggaji jurutera berpandukan pasaran semasa.

Iklan
Iklan

"IEM menjalankan tinjauan pasaran berkala ke atas 50,000 ahli bagi menyediakan data yang boleh dijadikan rujukan bagi merumuskan prosedur penetapan gaji permulaan jurutera baharu kerana ia melibatkan pelbagai faktor.

"Di samping itu, ia turut menjadi aspek penting bagi meramal potensi peningkatan pendapatan jurutera pada masa akan datang.

Iklan

"Nilai pada jurutera tempatan juga perlu seiring keperluan kemahiran diperlukan syarikat, termasuk pengalaman, pembabitan dalam projek, pengkhususan industri dan kemahiran serta keseluruhan sumbangan terhadap matlamat organisasi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, majikan disaran menawarkan gaji lebih tinggi dan lumayan agar setimpal latar belakang kemahiran serta pendidikan sebagai langkah membendung penghijrahan bakat tempatan ke luar negara.

Iklan

Dalam pada itu Norlida berpendapat, penghijrahan jurutera tempatan ke luar negara bukan kebimbangan bagi profesion berkenaan ekoran ia turut melibatkan pelbagai pasaran kerjaya di Malaysia.

Oleh itu ujarnya, pengurusan tawaran dan permintaan yang berkesan mampu memastikan kemahiran jurutera dapat dipadankan dengan keperluan industri.

"Perkembangan teknologi di negara ini antara lain membolehkan syarikat tempatan dan antarabangsa menawarkan pampasan kompetitif di peringkat global, selain meningkatkan tahap relevansi pasaran jurutera.

"Usaha bersepadu membabitkan semua pihak diperlukan bagi menangani isu ini, terutama melalui penegasan terhadap kepentingan perpaduan negara dalam mencari penyelesaian," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28