PIBG turun hiasan 'berlebihan' sambut Tahun Baru Cina

Iklan
Tanglung yang dihias di SMK Pusat Bandar Puchong 1 bagi sambutan Tahun Baru Cina diturunkan. - FOTO: IHSAN FB SHU YUN

PUCHONG - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 bertindak menurunkan sebahagian tanglung yang menjadi perhiasan sekolah bagi sambutan Tahun Baru Cina bakal disambut tidak lama lagi.

Yang Dipertuanya, Kuan Chee Heng berkata, tindakan tersebut diambil bagi meredakan keadaan selepas mendapat arahan daripada pengetua sekolah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak kesal dengan tohmahan dilemparkan sebuah parti politik terhadap pihak sekolah yang mendakwa perhiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina dibuat di sekolah berlebihan dan mempunyai unsur keagamaan.

"Saya ada membaca surat yang dihantar kepada pengetua sekolah, bagi saya tuduhan dibuat palsu, tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Iklan

"Untuk pengetahuan, sekolah ini memang menyambut setiap perayaan dengan meriah malah bukan itu sahaja kita juga pastikan setiap majlis dan program disambut dengan suasana menggembirakan.

"Kalau sambutan Hari Raya Aidilfitri kita siap pasang khemah panggil ibu bapa datang makan sekali di sekolah, bila sambutan Deepavali kita hias sekolah dengan ‘kolam’,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Chee Heng berkata, kenyataan ditularkan itu boleh menimbulkan perasaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurutnya, pihak parti politik tersebut sepatutnya datang sendiri ke sekolah dan mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu tersebut bukannya menularkannya di media sosial.

"Saya sedia bertemu dengan mana-mana pihak yang perlukan maklumat mengenai perkara tersebut. Untuk pengetahuan tanglung yang digantung adalah pemberian sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud ketika sambutan perayaan sama tahun lalu.

"Sekolah ini memang unik sedikit, sebagai YDP PIBG saya memang akan pastikan semua majlis termasuk majlis perpisahan guru, program pelajar dan sebagainya disambut meriah bukan sambutan Tahun Baru Cina sahaja,” katanya.

Beliau berkata, sekolah berkenaan pernah memenangi pertandingan tarian kebudayaan melibatkan empat kaum tahun lepas.

"Sebab tu saya nasihatkan, mereka yang tidak faham itu bertemu bermuafakat dan redakan keadaan. Kita semua kena cari jalan yang baik bukannya menuduh secara tidak berasas.

Terdahulu, tular di media sosial surat sebuah pertubuhan politik ditujukan kepada Pengetua SMK Pusat Bandar Puchong 1 yang memaklumkan pihaknya menerima aduan ibu bapa mengenai perhiasan perayaan Tahun Baru Cina di sekolah tersebut.

Surat dua halaman itu turut menyatakan ibu bapa melahirkan rasa tidak selesa berkaitan dengan perhiasan yang didakwa keterlaluan.

Menurutnya, tindakan dilakukan sekolah bertentangan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Kandungan surat itu turut menyatakan pihak parti politik itu memberi masa tiga hari untuk pihak sekolah menurunkan semua perhiasan perayaan.