TENOM - Seorang warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya dihempap batu yang jatuh dari atas bukit dalam kejadian di Kampung Kuala Tomani, Mansaam dekat sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Ho Ka Cheong, 65, maut akibat tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mohd Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.27 tengah hari.
Menurutnya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 55 kilometer dari BBP Tenom.
"Menurut maklumat, terdapat sebuah pacuan empat roda telah dihempap batu yang jatuh dari atas bukit dan seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut.
"Pasukan bomba segera dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 45 kilometer dan kemudian menaiki kenderaan orang awam sejauh 10 kilometer dengan melalui laluan lori balak yang tidak berturap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Zainal berkata, usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit segera dilakukan sebaik tiba di lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.22 petang," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28