PUCHONG - Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah sekolah menengah yang didakwa berlebihan menghias bangunan institusi pendidikan itu bagi sambutan Tahun Baru Cina.
Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya melakukan siasatan.
"Tiada keputusan diambil berhubung dakwaan itu lagi ketika ini. Pegawai sudah diarah turun padang untuk menyiasat perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial surat daripada sebuah pertubuhan politik ditujukan kepada Pengetua SMK Pusat Bandar Puchong 1 yang memaklumkan pihaknya menerima aduan ibu bapa mengenai perhiasan perayaan Tahun Baru Cina di sekolah tersebut.
Surat dua halaman itu turut menyatakan ibu bapa melahirkan rasa tidak selesa berkaitan dengan perhiasan yang didakwa keterlaluan dan perkara itu didakwa bertentangan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han mengutuk teguran parti politik itu terhadap pihak sekolah berkaitan hiasan sambutan Tahun Baru Cina di sekolah tersebut.
Menurutnya, dalam surat yang dikeluarkan, parti tersebut mendakwa tindakan tersebut menjurus kepada penyebaran dakyah agama lain dalam kalangan pelajar beragama Islam.
Sze Han berkata, pihak itu turut menggesa pihak sekolah untuk menurunkan semua hiasan sambutan Tahun Baru Cina.
"Seperti yang kita sedia maklum, Tahun Baru Cina merupakan perayaan utama yang disambut oleh masyarakat berketurunan Tiong Hua dan bukannya satu perayaan keagamaan seperti apa yang dikatakan.
"Sehubungan itu, dakwaan mengatakan pengetua sekolah melakukan penyebaran dakyah agama lain adalah tidak berasas dan menunjukkan parti tersebut pertubuhan rasis dan ekstremis sehingga menyamakan sambutan Tahun Baru Cina dengan perayaan keagamaan,” katanya.
Beliau dalam pada itu meminta pihak sekolah merujuk kepada Kementerian Pendidikan (KPM) terlebih dahulu sekiranya timbulnya isu seperti itu.
"Saya minta pengetua rujuk kementerian dahulu dan bukannya bertindak atas arahan individu yang mempolitikkan isu tersebut,” katanya