Pengeluar Malaysia digesa rebut peluang pasar produk halal di Jepun

Iklan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan cenderamata kepada OCCI Vice Chairman, Junzo Tateno (kanan) ketika mengadakan pertemuan bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Osaka (OCCI) di Ibu Pejabat OCCI, pada Rabu. Foto Bernama

OSAKA - Pengeluar produk halal di Malaysia, digesa merebut peluang bekerjasama dengan syarikat di Jepun bagi memasarkan produk mereka, berikutan permintaan yang tinggi terhadap bahan makanan itu di negara berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini, kesedaran terhadap produk halal semakin meningkat, apabila terdapat kira-kira 120,000 umat Islam di negara 'Matahari Terbit’ itu.

Iklan
Iklan

"Pada masa ini, Islam berkembang dengan pesat di Jepun. Saya dimaklumkan daripada statistik terbaharu, kira-kira 10,000 rakyat Jepun memeluk Islam setiap tahun...dan sudah tentu (misalnya) Dewan Perniagaan dan Perindustrian Osaka (OCCI), melihat potensi untuk mengimport bahan-bahan halal ini,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Rabu.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi libat urus bersama OCCI dan Sesi Meja Bulat: ‘Menghubungkan Ekosistem Halal Antara Malaysia dan Jepun bagi Meningkatkan Perdagangan, Pelaburan dan Pekerjaan Berkualiti’.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata, sektor berkenaan, juga dilihat berpotensi besar kerana Jepun sedang giat mempromosi industri pelancongan dalam kalangan komuniti Islam.

"Sekarang ini yang diimport banyak ramuan untuk barang halal, tetapi kita mesti berusaha untuk melakukan kerjasama business to business dan juga business matching agar pengeluar produk halal F&B (makanan dan minuman) dan ingredients, dapat bekerjasama daripada sekarang kerana Jepun juga telah menarik pelancong dari negara Islam untuk berada di negara ini.

Iklan

"...dan tentunya produk halal penting untuk sektor pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, untuk melihat kerjasama yang boleh dilaksanakan di Jepun berhubung pengeluaran sijil halal.

Ini berikutan, beliau yang dalam rangka lawatan tujuh hari ke Jepun, berkata pada masa ini terdapat enam organisasi yang mengeluarkan sijil halal di negara berkenaan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28