SHAH ALAM - Malaysia meluahkan kekesalan atas kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menangani situasi genting yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan berkata, resolusi yang diusulkan Algeria itu gagal susulan penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat (AS), sekali gus melumpuhkan lagi usaha masyarakat antarabangsa menangani malapetaka kemanusiaan di Palestin.
Mengambil kira keadaan di Gaza yang semakin meruncing terutama serangan besar-besaran oleh Israel di Rafah, KLN menegaskan, jalan penyelesaian yang berkesan untuk menangani krisis itu ialah UNSC melaksanakan gencatan kemanusiaan dengan serta-merta.
"Malaysia mengulangi gesaannya supaya Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh PBB," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Terdahulu AS sekali lagi menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi UNSC mengenai perang Israel-Palestin yang menghalang permintaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera.
Seramai 13 anggota majlis mengundi menyokong draf resolusi yang diusulkan Algeria, manakala Britain berkecuali.
AS buat kali ketiga menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi berkaitan Gaza sejak permulaan konflik pada 7 Oktober lalu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28