Kenapa perlu peduli tempat untuk perokok?

Iklan
Isu rokok kembali menjadi bualan ramai apabila kerajaan bercadang untuk menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit. Gambar hiasan Bernama

ISU rokok kembali menjadi bualan ramai apabila kerajaan bercadang untuk menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.

Walaupun sekadar cadangan, namun ia menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai. Bagi perokok, tentulah mereka bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu. Senanglah mereka nak ‘berasap’ selepas perut kenyang menikmati hidangan.

Iklan
Iklan

Tapi bagi mereka yang tidak merokok, sudah tentu cadangan tersebut sesuatu yang menjengkelkan.

Dari satu sudut lain, kita juga tertanya-tanya apa sudah jadi dengan kempen Larangan Merokok yang diwujudkan kerajaan sejak sekian lama dalam usaha mengurangkan budaya merokok dalam kalangan rakyat Malaysia?

Iklan

Sepatutnya kerajaan perlu tegas dengan prinsip ‘katakan tidak kepada rokok’ dan bukannya melontarkan soalan ‘di mana kita boleh merokok’.

Menyediakan tempat khas umpama melayan nafsu perokok untuk bebas menyedut dan menghembus ‘asap nikmat’ di mana saja, sementara yang tidak merokok akan terus menjadi mangsa menghidu bau busuk asap rokok daripada orang lain.

Iklan

Statistik menunjukkan terdapat kira-kira lima juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun dan ke atas adalah perokok. Ini didedahkan bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada November lalu yang turut menjangkakan jumlah perokok baharu terus meningkat berikutan kemunculan rokok elektronik atau vape.

Beliau turut mendedahkan bahawa tinjauan kesihatan dan komorbiditi kebangsaan mendapati jumlah perokok dalam lingkungan usia seawal 15 tahun meningkat sekali ganda kepada 1.2 juta pada tahun 2019 berbanding 600,000 perokok pada 2016.

Kesimpulannya, ini sesuatu yang amat dibimbangkan.

Dengan vape yang tergantung di dada, pod yang digenggam hampir setiap masa, mungkin apa yang kerajaan hasratkan itu adalah untuk bersikap adil kepada perokok, namun ia perlu diteliti semula.

Pada tahun 2018, menteri kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah memperkenalkan peraturan kawasan merokok dengan jarak tiga meter dari premis makanan.

Penulis masih ingat, ketika itu ramailah yang mengeluh, malah 'jabatan netizen' juga memberi macam-macam alasan serta komen, tidak kurang juga mereka yang bersetuju dengan idea tersebut yang disifatkan sebagai permulaan untuk udara lebih sihat di negara ini.

Kemudian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan waktu itu mengambil inisiatif membina ruang khas untuk merokok di tempat awam dengan peruntukan RM1 juta diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ia mengundang kritikan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia apabila mendakwa tindakan itu hanya akan menggalakkan perokok berkumpul beramai-ramai.

Apa sebenarnya inisiatif paling terbaik? Benarkan merokok secara bersyarat atau melarang terus?

Tentulah pilihan kedua lebih baik. Namun pelaksanaannya bukanlah semudah disangka dan memerlukan iltizam yang tinggi.

Perlu ada kesungguhan untuk memastikan ia tercapai seperti dikongsikan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang mahu larangan merokok dikekalkan tanpa ada sebarang u-turn.

Dari segi matematiknya, pemilik restoran mungkin rugi kerana pelanggan akan lari ke tempat yang lebih mudah untuk merokok. Namun dari segi moral, restoran berkenaan telah membantu negara dalam memastikan generasi baharu selamat daripada tabiat merokok.

Walaupun syor mahu mewujudkan kawasan khas merokok di premis belum muktamad, sebenarnya cadangan seperti itu tidak sepatutnya keluar daripada KKM.

Lebih baik kekalkan sahaja larangan merokok di premis makanan, dalam masa sama tingkatkan lagi penguatkuasaan agar peraturan yang diwujudkan dipatuhi semua orang.

Kalau kerajaan sendiri masih memikirkan kebajikan perokok, apa yang diusahakan selama ini untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya merokok menjadi sia-sia.

* Nurhafiza Hasan ialah Penyunting Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28