PANAS hati Merak Jalanan ketika berkunjung ke sebuah kawasan pinggir ibu kota baru-baru ini. Manakan tidak, sakit mata melihat kawasan persekitaran yang kotor dan tidak terurus.
Kawasan kaki lima termasuk dinding tembok ‘dihiasi’ air ludah sisa sirih.
Bukan itu sahaja, Merak Jalanan juga tidak selesa kerana kawasan tersebut tampak didominasi warga asing.
Ketika Merah Jalanan berdiri di kaki lima, seorang lelaki warga asing selamba meludah sisa sirih dikunyahnya di kawasan pejalan kaki.
Merak Jalanan menegurnya tetapi disambut dengan pandangan tajam dan lagak sombong, sambil pemuda berkenaan memanggil rakan-rakannya.
Kerana berasa tidak selamat, Merak Jalanan segera meninggalkan kawasan itu bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Itu situasi yang dialami sendiri Merak Jalanan ketika berhadapan dengan warga asing yang nampak langsung tidak mempunyai kesedaran sivik.
Bukan bersikap xenofobia, tetapi Merak Jalanan setuju dengan kenyataan rakan-rakan sepejabat bahawa warga asing terutamanya yang masuk secara haram mempunyai mindset sempit bahawa mereka boleh berbuat apa sahaja walaupun bukan negara mereka.
Dengan pemikiran sebegitu, tidak hairanlah mereka membuang sampah merata-rata tanpa rasa bersalah, apabila ditegur pula mereka sangat garang dan melawan.
Ini bukan tuduhan kosong. Kalau tak percaya, boleh pergi ke Jalan Silang dan lihat sendiri. Jelas warga asing di situ tidak menjaga kebersihan.
Ada yang makan sirih kemudian meludah merata-rata sehingga meninggalkan kesan merah pada permukaan jalan dan dinding.
Sebagai rakyat Malaysia, kita berhak menegur perbuatan warga asing yang mengabaikan aspek kebersihan dan tidak menghormati budaya tempatan.
Merak Jalanan bimbang, jika kita berlembut, satu hari nanti mereka lebih berani dan bersikap besar kepala.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28