Isteri maut, suami cedera kereta terbabas jatuh jambatan

Iklan
Keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki sepasang suami isteri dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke bawah jambatan di KM2 Jalan Sungai Koyan-Raub pada Rabu. Foto ihsan PDRM

LIPIS - Seorang suri rumah maut manakala suaminya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke bawah jambatan di Kilometer 2, Jalan Sungai Koyan-Raub di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor memberitahu, kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Kancil itu telah menyebabkan mangsa, Azlina Mohamed, 45, meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

"Balai Polis Sungai Koyan menerima maklumat mengenai kejadian ini kira-kira jam 6.30 petang.

"Hasil siasatan awal, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu oleh suami mangsa dari arah Raub menghala ke Sungai Koyan.

Iklan

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jambatan dan jatuh terjunam ke bawah jambatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, pemandu kereta berusia 50 tahun telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan di kepala.

Iklan

Jelasnya lagi, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28