RAFAH - Israel terus bertindak kejam dengan meningkatkan pengeboman ke atas Rafah di selatan Gaza menyebabkan puluhan ahli keluarga terbunuh dalam serangan udara.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan setakat Rabu, angka mereka yang syahid di Gaza telah meningkat kepada 29,313 orang.
Perang kini memasuki bulan kelima, namun gencatan senjata yang direncanakan oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar untuk mendapatkan jeda dalam perang masih kebuntuan.
Tentera Israel (IDF) berkata, pihaknya telah meningkatkan operasi di Khan Younis, sebuah bandar di utara Rafah.
Ia tidak menyebut tentang serangan ke atas Rafah sendiri dalam ringkasan harian peristiwa di Gaza dan tidak segera menjawab permintaan untuk komen.
Kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin bersesak di Rafah iaitu tempat terakhir untuk berlindung di Gaza.
Selain itu, aliran bantuan yang masuk ke Gaza dari Mesir hampir kering sejak dua minggu lalu.
Israel telah menyukarkan aliran masuk dan pengagihan makanan serta bantuan di Gaza.
Penduduk Rafah melaporkan beberapa serangan udara Israel dan letupan besar di bandar itu serta bot tentera laut melepaskan tembakan di kawasan tepi pantai.
Penduduk tempatan juga berkata, kereta kebal Israel telah maju ke barat dari Khan Younis ke Al-Mawasi yang sebelum ini kawasan selamat di mana tentera telah memberitahu rakyat Palestin untuk mencari perlindungan.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, seramai 69,333 orang telah cedera di Gaza sejak permulaan perang pada 7 Oktober.
Kebanyakan penduduk Gaza, seramai 2.3 juta orang, kehilangan tempat tinggal. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28