SKUAD negara mempamerkan kayuhan bertenaga untuk merangkul perak acara pecut berpasukan lelaki dan wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di New Delhi, pada Rabu.
Trio lelaki - Muhammad Ridhwan Shahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Umar Hasbullah - yang turun selaku pemenang gangsa tahun lepas di Velodrome Nasional, Nilai, berjaya memperbaiki kedudukan ke tempat kedua dengan catatan 44.607 saat (s) di Kompleks Sukan Indira Gandhi.
Iklan
Iklan
Skuad negara tewas kepada juara bertahan, Jepun yang dibarisi oleh Yuta Obara, Kento Yamasaki dan Minato Nakaishi yang mempertahankan gelaran Asia dengan catatan 44.367s pada final, manakala China membawa pulang gangsa selepas menewaskan pasukan tuan rumah pada penentuan tempat ketiga.
Pasukan wanita yang terdiri daripada Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Aliana Syafika Azizan mencatatkan 50.095s pada final, di belakang trio Zhou Fei, Tong Menggi, Wang Lijuan (48.178s), manakala Korea Selatan membawa pulang gangsa.
Sementara itu, atlet berbasikal para juga beraksi cemerlang untuk meraih emas acara pecut berpasukan campuran C1-5.
Trio negara Muhamad Yusof Hafizi, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Muhamad Hafiz Jamali (52.284s) berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Arshad Shaikh, Jalaluddin Ansari dan Basavarai Horaddi (1:02.661s) untuk muncul juara, manakala Arab Saudi meraih gangsa. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28