SHAH ALAM - Prestasi ekonomi ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) didakwa jauh lebih parah berbanding pencapaian Kerajaan Perpaduan berkaitan isu kejatuhan nilai ringgit terkini.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, ia termasuk pelaburan langsung asing (FDI) yang paling rendah di Asia Tenggara pada 2020 dan penarafan Fitch Ratings merudum menyebabkan peningkatan bunga kepada hutang negara
"Ia turut melibatkan inflasi meningkat sehingga mencecah 4.5 peratus, kadar pengangguran tinggi dan puluhan ribu peniaga gulung tikar kerana polisi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak.
"Hal ini cukup berbeza dengan indikator ekonomi terkini termasuk melalui kadar pengangguran, inflasi, FDI dan bursa yang menunjukkan perkembangan positif sekali gus mengiyakan faktor luaran terhadap prestasi ringgit sekarang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan, Naib Presiden Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mendakwa, kerajaan tidak serius menangani kesan kejatuhan nilai ringgit yang berlaku ketika ini.
Malah, beliau turut menyindir tindakan pemimpin kerajaan yang dikatakan 'menikus' apabila ditanya mengenai perkara berkenaan.
Selain itu, Haziq Azfar mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya tersebut dilakukan secara tidak adil tatkala nilai ringgit terjejas kerana dipengaruhi faktor luar yang kuat.
Tambahnya, Mohd Radzi hakikatnya hilang hak di sisi undang-undang (locus standi) secara moral untuk bercakap tentang prestasi ringgit apabila menganggotai Jemaah Menteri yang gagal menguruskan ekonomi walaupun berpeluang melakukannya.
"Oleh itu, beliau wajar bermuhasabah dan ‘mencermin’ dirinya serta partinya yang secara tidak malu menjaja naratif songsang terkait prestasi ringgit semasa tatkala mereka ternyata gagal menguruskan ekonomi sewaktu 33 bulan menjadi kerajaan.
"Pastinya banyak cermin yang boleh diperoleh di sekitar kawasan konstitusinya di Putrajaya,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28