GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak mempunyai asas atau rujukan untuk memulakan siasatan dakwaan sepasang pelancong asing berhubung air di bilik hotel penginapan mereka kotor.
Menurut video yang ditularkan, kedua-dua pelancong asing tersebut mendakwa mereka tidak mandi selama tiga hari berikutan kualiti air di bilik hotel kotor dan berwarna kuning.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan berkata, pihaknya tidak dapat memulakan siasatan berhubung dakwaan itu kerana video itu telah disiarkan pada Mei tahun lalu iaitu kira-kira sembilan bulan lepas.
Tambahnya, PBAPP juga tidak merekodkan sebarang laporan daripada hotel mengenai masalah kualiti air pada Mei atau Jun tahun lalu.
"Oleh itu, PBAPP tiada maklumat lokasi hotel (mengikut daerah atau kawasan).
"Selain itu, pelancong tidak didaftarkan sebagai pengguna air dalam pangkalan data PBAPP, bagaimanapun hotel tempat mereka menginap adalah pengguna air berdaftar tetapi tidak dinyatakan maklumat lanjut.
"Tanpa siasatan, PBAPP tidak dapat memastikan sama ada air paip kotor yang didakwa disebabkan oleh PBAPP atau sistem retikulasi dalaman hotel yang merangkumi paip, tangki air atau sistem penapisan air," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Pathmanathan, PBAPP bertanggungjawab ke atas kualiti air sehingga kedudukan meter untuk mana-mana premis yang dimiliki atau disewa oleh pengguna air.
"Kedudukan meter merujuk kepada lokasi meter air PBAPP yang dipasang untuk merekod penggunaan air di premis persendirian yang mana, pembaca meter PBAPP akan merekodkan bacaan mereka.
"Semua sistem paip yang menyalurkan bekalan air ke dalam premis selepas kedudukan meter adalah sistem retikulasi dalaman. Paip dalaman, pam, tangki air dan penapis premis persendirian adalah kepunyaan pemilik atau penghuni premis.
"Oleh itu, tanggungjawab menyelenggara sistem retikulasi dalaman dengan betul terletak kepada pemilik atau penghuni, dan bukan PBAPP," katanya lagi.
Beliau berkata, PBAPP tidak bertanggungjawab terhadap isu bekalan air yang berlaku akibat sistem retikulasi dalaman yang tidak diselenggara dengan baik, termasuk kebocoran, air kotor, tiada air atau tekanan air rendah.
"Kita akan menyiasat semua laporan.
"Kami memerlukan nama, alamat dan nombor akaun anda untuk memulakan siasatan.
"Bagaimanapun, PBAPP akan memaklumkan kepada anda jika puncanya berkaitan dengan masalah bekalan air awam atau masalah retikulasi dalaman.
"Jika isu itu berkaitan dengan saluran paip agihan PBAPP sebelum kedudukan meter, kami akan mengambil tindakan pembaikan atas kos kami.
"Jika isu itu berkaitan dengan sistem retikulasi dalaman anda, anda perlu mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.
Jelasnya, sebarang laporan boleh disalurkan kepada beberapa saluran komunikasi antaranya pusat panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-255 8 255, aplikasi myPBA, Pusat Khidmat Pelanggan PBAPP atau emel kepada customer@pba.com.my.
Sebelum ini, video sepasang pelancong asing yang datang ke Malaysia tular di media sosial memaparkan pengalaman mereka dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Langkawi melalui bas dan feri.
Pasangan itu bagaimanapun mendakwa tidak mandi selama tiga hari berturut-turut ketika berada di Pulau Pinang berikutan kualiti air di hotel penginapan mereka kotor selain berwarna kuning.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28