Rakyat Kimanis mahu perkhidmatan kereta api dinaik taraf

Iklan
Orang ramai menaiki keretapi seawal jam 5.30 pagi untuk ke tempat kerja ketika tinjauan di Stesen Kereta Api Bongawan. Perkhidmatan kereta api merupakan pengangkutan utama kepada penduduk Bongawan yang bekerja di Bandaraya Kota Kinabalu dan pelajar sekolah yang bersekolah di daerah lain. Foto BERNAMA.

KIMANIS - Rakyat Kimanis mahu kerajaan negeri menaik taraf perkhidmatan kereta di sini yang telah menjadi pengangkutan awam utama untuk mereka ke bandar lain sama ada hendak ke sekolah, tempat kerja atau urusan lain.

Menurut mereka, jumlah penumpang meningkat kerana semakin ramai penduduk Beaufort, Membakut, Bongawan yang bekerja di Kota Kinabalu memilih menaiki kereta api.

Iklan
Iklan

Seawal jam 5 pagi, Stesen Keretapi Bongawan memulakan operasi dengan beberapa penumpang berbaris menunggu giliran untuk mendapatkan tiket ke destinasi masing-masing.

Setelah selesai membeli tiket, kesemua penumpang mencari tempat duduk selain ada yang lebih selesa berdiri sementara menunggu ketibaan gerabak kereta api dari Beaufort kira-kira JAM 5.30 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Papar dan stesen terakhir di Kota Kinabalu.

Iklan

Waktu subuh di Stesen Bongawan yang beroperasi di bawah seliaan Jabatan Keretapi Negeri Sabah, kelihatan tenang dan damai, selain diceriakan dengan senyuman penumpang, rata-ratanya terdiri daripada pelajar sekolah dan pekerja.

Seorang penumpang kereta api, Mervin Shim, 17, ketika ditemui Bernama berkata, sudah menjadi rutin hariannya menaiki kereta api untuk ke sekolahnya di Sekolah Menengah (SM) St Joseph, Papar, kira-kira 28 kilometer dari pekan Bongawan.

Iklan

Pelajar Tingkatan Lima itu berkata, dia menjadi pelanggan tetap perkhidmatan kereta api di stesen tersebut sejak sekolah rendah ketika di Tahun Lima kerana tidak ada bas sekolah mengambil perkhidmatan menghantar murid ke Papar jika jumlahnya sedikit.

"Setiap hari ibu saya akan hantar ke stesen ini. Menaiki kereta api pastinya memberi pengalaman menarik. Saya sentiasa teruja walaupun selalu menaikinya dan terpaksa bangun awal setiap hari. Pengangkutan kereta api ini akan sentiasa menjadi pilihan utama saya,” katanya.

Jumlah penumpang meningkat kerana semakin ramai penduduk Beaufort, Membakut, Bongawan yang bekerja di Kota Kinabalu memilih menaiki kereta api.

Mervin berkata, harga tambang kereta api juga sangat murah dan berbaloi baginya sebagai pelajar dan dia hanya membelanjakan RM19.20 sebulan untuk tiket.

Seorang lagi penumpang, Nuratiqah Mohd Nazri yang merupakan seorang pekerja swasta berkata dia memilih menggunakan pengangkutan kereta api kerana dapat menjimatkan kos minyak kenderaan selain boleh tiba di tempat kerja lebih awal tanpa perlu berdepan dengan kesesakan lalu lintas.

Nuratiqah, 23, berkata, dia mula menaiki kereta api sejak 2016 untuk ke tempat kerjanya di Putatan, kira-kira 55 kilometer dari pekan Bongawan dengan hanya membelanjakan RM2.65 untuk tambang tiket sehala.

Beliau berharap kerajaan dapat menaik taraf prasarana kereta api di daerah itu ke arah meningkatkan lagi perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan yang sudah menjadi pilihan utama mereka untuk ke luar kota.

"Jika boleh stesen kereta api sedia ada ini dinaik taraf selain gerabak juga perlu ditambah memandangkan semakin ramai penduduk Beaufort, Membakut, Bongawan yang bekerja di Kota Kinabalu memilih menaiki kereta api,” katanya.

Sementara itu, Ketua Stesen Keretapi Bongawan, Mohd Kasim Mohd yusof berkata, stesen itu akan beroperasi mengikut empat seksyen bermula jam 5.30 pagi; 9 pagi; 11.30 pagi sebelum tamat pada 7 malam, setiap hari.

Menurutnya, tambang kereta api juga masih pada kadar lama dan murah kerana penumpang hanya dikenakan harga tiket sehala RM3.20 ke Kota Kinabalu dan RM1.40 ke Beaufort.

"Secara purata, pengguna kereta api di stesen ini boleh mencecah sehingga 150 orang setiap hari,” katanya yang sudah bertugas selama 25 tahun di stesen berkenaan.

Melihat jumlah pengguna yang ramai, Mohd Kasim berkata, prasarana stesen kereta api itu perlu diperbaharui demi keselesaan penumpang termasuk menyediakan ruangan menunggu lebih besar dan dilengkapi tempat duduk mencukupi.-

Beliau berkata penambahbaikan perkhidmatan kereta api di Bongawan juga mampu membuka dimensi baharu dalam melonjakkan lagi sektor pelancongan di daerah berkenaan, lebih-lebih lagi, Bongawan kini mempunyai banyak destinasi menarik untuk dikunjungi.

"Ramai pelancong menggunakan perkhidmatan kereta api ke Bongawan termasuk dari China dan Korea Selatan selain pelancong tempatan terutama ketika musim cuti sekolah. Sepanjang perjalanan, mereka boleh melihat pemandangan menarik dari pantai sehingga ke hutan bakau,” katanya.

Aspirasi menaik taraf infrastruktur kereta api sekali gus meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di Parlimen Kimanis antara komitmen dizahirkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam jelajah kempennya untuk calon Warisan, Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Mohd Shafie berkata, Warisan sebagai parti pemerintah di Sabah komited untuk memajukan perkhidmatan kereta api di negeri ini khususnya di daerah berkenaan sebagai sistem pengangkutan efisien bagi menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Karim, 67, dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin, 48.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Januari manakala pengundian awal pada 14 Januari. - Bernama