KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan memberi lanjutan tempoh masa bagi dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan harta adalah wajar.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua anak Tun Mahathir, Tan Sri Mohkzani dan Mirzan sebelum ini ada memohon lanjutan masa bagi mengisytiharkan harta dimiliki.
Beliau berkata, di atas permohonan yang dipohon, menjadi satu kewajaran bagi pihak SPRM melanjutkan tempoh yang diberikan sebelum ini.
Kata beliau, tempoh lanjutan selama 30 hari lagi diberikan kepada Mokhzani, setelah tempoh pertama diberikan bermula 17 Januari lalu untuk mengisytiharkan harta.
"Mokhzani ada memohon tambahan masa sebelum ini dan SPRM telah melanjutkannya selama 30 hari lagi.
"Tempoh masa yang diberikan itu adalah wajar, berdasarkan penerangan pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan.
"Ini kerana harta-harta yang terlibat untuk disiasat adalah banyak dan perlu lebih details (terperinci) untuk mendapatkan dokumen atau akaun berkaitan," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas majlis konvokesyen Program Pegawai Integriti Betauliah (CeIO) kali ke-10 di World Trade Centre (WTC), dekat sini.
Majlis konvokesyen itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan yang dijalankan melibatkan dua anak bekas Perdana Menteri itu berjalan dengan lancar.
Malah menurut beliau, kerjasama baik diberikan oleh Mokhzani dan abangnya, Mirzan kepada pihak SPRM.
Ditanya adakah tempoh lanjutan pengisytiharan harta boleh dipohon lagi selepas ini, beliau berkata, permohonan seterusnya boleh dipohon oleh kedua-duanya.
Bagaimanapun kata beliau, perkara itu perlu disemak dan dikaji terlebih dahulu oleh pegawai penyiasat.
Pada Januari, Sinar Harian melaporkan SPRM mengeluarkan perintah notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 terhadap Mirzan dan Mokhzani.
Sebelum ini, SPRM telah memanggil Mirzan dan Mokhzani untuk disoal siasat, walaupun asas sebenar siasatan mereka tidak jelas.
Pada 6 Februari lalu, SPRM masih belum menerima sebarang maklum balas dan mengatakan Mirzan dan Mokhzani boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi itu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28