KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menubuhkan 'task force' Ops Sri PA untuk melaksanakan pemeriksaan keselamatan kebakaran ke atas 122 blok perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul berkata, kumpulan task force itu dibahagikan kepada empat zon melibatkan 24 kawasan perumahan awam berusia lebih 30 tahun yang telah dikenal pasti.
"Selain Perumahan Awam Sri Sabah, kita turut mengenal pasti Perumahan Awam Setapak Jaya 1, Perumahan Awam Kerinchi 1A serta Perumahan Awam Hang Tuah dan beberapa lagi perumahan awam lain," katanya pada sidang media selepas melancarkan pelaksanaan task force Ops Sri PA di sini pada Khamis.
Muhammad Salleh berkata, kekuatan keanggotaan untuk task force itu melibatkan seramai 70 pegawai bomba dengan kerjasama pihak penyelenggara DBKL.
"Sebarang penemuan atau kelemahan yang ditemui akan dimaklumkan serta tindakan segera akan diambil oleh pihak bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata, objektif utama penubuhan task force itu adalah untuk memastikan perumahan awam memenuhi keperluan minimum keselamatan kebakaran.
"Kita juga mahu memastikan sistem pepasangan keselamatan kebakaran sedia ada berfungsi dan berada dalam keadaan baik.
"Penambahbaikan dalam aspek keselamatan kebakaran berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.
Selain itu, katanya, ia sebagai kesiapsiagaan JBPM dan penghuni dalam menghadapi sebarang insiden.
"Tempoh pelaksanaan task force tersebut bermula hari ini (Khamis) sehingga Khamis depan," ujarnya.
Muhammad Salleh berkata, tindakan itu adalah rentetan daripada kes kebakaran yang berlaku melibatkan lima unit rumah di tingkat 17, Blok 70, Perumahan Awam Sri Sabah pada 11 Februari lalu.
"Kita telah merangka satu tindakan proaktif bagi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berlaku lagi pada masa hadapan," katanya.
Muhammad Salleh berkata, laporan forensik berkaitan kejadian kebakaran di perumahan awam itu telah siap dan akan dimaklumkan kepada umum dalam tempoh dua minggu.
"Laporan tersebut juga perlu dibentangkan kepada jawatan kuasa, sebelum dimaklumkan kepada umum dalam tempoh dua minggu," ujarnya.