HRD Corp capai rekod terbaik kutip levi tertinggi RM2.2 bilion

Iklan
Steven Sim

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mencapai rekod terbaik dengan pungutan levi tertinggi sebanyak RM2.2 bilion pada 2023.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pemberian kelulusan geran bantuan kewangan sebanyak RM1.78 bilion dan lebih daripada 2.2 juta tempat latihan turut dicatatkan sejak penubuhannya pada 1993.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai perbandingan, pada 2022 HRD Corp mengutip levi sebanyak RM1.81 bilion dan meluluskan lebih RM728 juta tuntutan dana latihan serta 1.15 juta tempat latihan.

"KSM menyediakan program latihan berkualiti kepada semua rakyat Malaysia untuk meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara.

Iklan

"Ini selaras dengan fokus 3K kami iaitu untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan dalam kalangan pekerja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Steven turut memberikan mandat kepada HRD Corp untuk menyediakan program latihan kepada masyarakat, khususnya usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta individu di kawasan luar bandar.

Iklan
Steven meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, ia bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang terlepas peluang untuk mendapatkan latihan dan pembangunan.

Tambahnya, beliau turut berharap agar HRD Corp terus menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan lain untuk mendorong dan mempromosikan pembangunan kemahiran di negara ini.

"Ia bertujuan supaya Malaysia suatu hari nanti mencapai status ‘ivy league’ dalam latihan dan pembangunan yang secara tidak langsung memberikan cabaran kepada KSM dan HRD Corp sebagai sektor paling penting tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, semua kejayaan yang dicapainya tidak mungkin terjadi tanpa bantuan dan sokongan dari organisasi lain.

"Sambutan ini juga merupakan tanda penghargaan kami kepada setiap majikan berdaftar, penyedia latihan dan semua pihak berkepentingan atas semua usaha yang kita lakukan bersama demi menyokong agenda pembangunan negara.

"HRD Corp akan berdiri teguh menyokong kepimpinan beliau (Steven) dan agensi ini mengalu-alukan sokongan berterusan para pemegang taruh,” katanya.


Setuju belanja sepenuhnya untuk program latihan kemahiran - Steven Sim

SHAH ALAM - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bersetuju dengan pandangan supaya hasil kutipan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dibelanjakan sepenuhnya untuk program latihan dan bukan sekadar berbangga dengan hasil kutipan.

Menurutnya, pihak kementerian akan merancakkan program latihan kepada semua peringkat masyarakat pada tahun ini.

"Saya setuju dengan pandangan Dr (Nungsari Ahmad Radhi).

"Dalam ucapan yang sama, saya tekan agar keseluruhan levi disalurkan untuk program latihan kemahiran dan kita akan merancakkan program latihan kepada semua peringkat masyarakat tahun ini.

"Kita akan beri sepenuhnya untuk latihan kemahiran. Berdiri bersama pekerja,” katanya menerusi satu hantaran di aplikasi X pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai hantaran pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi yang mempersoalkan tentang satu laporan mengenai hasil kutipan HRDcorp sebanyak RM2.2 bilion.

Nungsari turut membidas, tugas agensi itu bukan sekadar mengumpulkan dana semata-mata tetapi ia mesti dibelanjakan untuk latih pekerja.

"Bukan kerja kutip, kerja latih pekerja. Habiskan kutipan untuk latihan tingkatkan kemahiran pekerja!” tegasnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi HRD Corp mencapai rekod terbaik dengan pungutan levi tertinggi sebanyak RM2.2 bilion pada 2023.