Sultan Brunei berkenan sertai solat jenazah Taib Mahmud

Iklan
Jenazah Abdul Taib dibawa keluar dari DUN Sarawak selepas Istiadat penghormatan negeri untuk dibawa ke Masjid Demak untuk solat jenazah dan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya hari ini. Foto Bernama

KUCHING - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menyertai solat jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Masjid Demak di sini, hari ini.

Turut berkenan menyertai solat jenazah ialah anakanda baginda, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah.

Iklan
Iklan

Solat jenazah yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi itu juga disertai Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sultan Hassanal kemudiannya berangkat menyertai istiadat pengebumian Abdul Taib di perkuburan keluarga berdekatan masjid tersebut.

Iklan

Terdahulu, jenazah Allahyarham Abdul Taib dibawa dari Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak setelah selesai majlis istiadat memberi penghormatan terakhir oleh orang ramai yang diadakan di situ.

Perjalanan dari kompleks itu ke Masjid Demak diiringi tembakan 87 das meriam oleh Rejimen Ke-8 Artileri Diraja sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Iklan

Jenazah Allahyarham Abdul Taib tiba di pekarangan masjid pada 11.56 pagi dan diusung oleh pegawai tentera dan polis ke dalam masjid sambil diiringi isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib serta ahli keluarga yang lain.

Jenazah Allahyarham Abdul Taib kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan pada kira-kira 1.20 petang dalam suasana cuaca hujan.

Allahyarham Abdul Taib, 87 tahun meninggal dunia pada kira-kira 4.40 pagi semalam dan Kerajaan Sarawak mengisytiharkan Sarawak berkabung selama dua hari bermula semalam. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28