'Moga Tze Yong cepat sembuh'

Iklan
Ng Tze Yong

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menaruh harapan agar pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, sempat sembuh sebelum tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, berakhir April ini.

Hannah mengakui bimbang dengan situasi melanda Tze Yong yang dihimpit kecederaan tulang belakang semasa diturunkan beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Saya harap Tze Yong fokus pada pemulihan. Semoga beliau cepat sembuh dan sempat untuk kelayakan (Sukan Olimpik 2024),” katanya selepas merasmikan Siri Golf Amatur Kebangsaan 2024 pada Khamis.

Tze Yong yang diturunkan pada perlawanan suku akhir kejohanan itu menentang pemain Singapura, Jason Teh, Jumaat lepas, hanya bertahan kira-kira tiga minit sebelum menarik diri.

Iklan

Pemain berusia 23 tahun itu ketika ini berada di tempat ke-15 dalam ranking Race to Paris dengan mengumpul 58,735 mata.

Mengikut kriteria kelayakan Olimpik Paris 2024, sejumlah 35 tempat kuota, satu tempat negara tuan rumah dan dua tempat global diperuntukkan untuk acara perseorangan.

Iklan

Sebuah negara hanya boleh menghantar maksimum dua pemain dalam satu kategori perseorangan jika kedua-duanya berada di kedudukan 16 teratas pada penghujung tempoh kelayakan Race to Paris, dijadualkan pada 28 April ini.

Hannah pada masa sama enggan mengulas mengenai prestasi skuad lelaki negara yang muncul sebagai naib BATC 2024 sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan edisi 2022, selepas tumpas 0-3 kepada China.

Sementara itu, beliau berkata kementerian akan mengumpul data daripada operator lapangan golf seluruh negara dalam usaha memperkenalkan pakej mampu milik bagi memberi peluang buat golongan kurang berkemampuan merasai pengalaman bermain sukan tersebut.

Katanya, langkah memperkenalkan harga berpatutan ditawarkan dalam pakej yang bakal diumumkan kelak akan dapat menangkis persepsi bahawa sukan golf hanyalah untuk golongan elit.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 1,680 peserta bakal bersaing dalam kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan 2024 yang diadakan di 14 negeri, bermula di The Mines Resort and Golf Club pada 29 Februari dan berakhir di Forest City Golf Resort, Johor, pada 8 hingga 10 September ini.

Kejohanan terbuka itu menyaksikan juara berpeluang mewakili negara pada Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket, Thailand, dari 26 Oktober hingga 3 November ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28