Nasib pekebun pisang dapat perhatian MARDI

Iklan
Muhammad Amin (kiri) diberikan penerangan oleh pihak MARDI mengenai penanaman pokok pisang berangan.

JERANTUT - Nasib seorang pekebun pisang di Kampung Bantal dekat Ulu Tembeling di sini yang terjejas akibat banjir mendapat perhatian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 26 Januari lalu, kebun milik Muhammad Amin Fakhri Ahmad Sukri, 27, yang mengusahakan 3,000 pokok pisang berangan sejak September tahun lepas musnah menyebabkan dia kerugian kira-kira RM20,000.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Program Teknologi Baja MARDI, Dr Ganisan Krishnen berkata, sebanyak 150 benih pokok pisang varieti berangan yang dihasilkan menggunakan Teknologi Kerintangan Sistem Teraruh (SR) telah disumbangkan kepada Muhammad Amin.

Ganisan (tiga dari kanan) dan Muhammad Amin (empat dari kiri) menunjukkan bantuan benih pokok serta baja yang dibekalkan MARDI.

Menurutnya, MARDI juga membantu untuk memulihkan pokok-pokok lama sedia ada dengan memperkenalkan teknologi ISR (induced system resistance) yang bertindak sebagai baja bio bagi menggalakkan pertumbuhan vegetatif pokok.

Iklan

"Ia mampu meningkatkan kerintangan pokok terhadap penyakit dan makhluk perosak.

"Dalam lawatan ini, kita beri penerangan mengenai penggunaan teknologi tersebut dan membuat demonstrasi dengan menginokulasi inokulan ISR, Gladiator 1.0 pada pangkal pokok serta didedahkan cara-cara penanaman dan penjagaan pokok yang betul.

Iklan

"Kita turut bekalkan setengah tan kompos tinja ayam, baja NPK hijau, NPK biru, Christmas Island Rock Phosphate (CIRP) dan kapur (dolomite) untuk penanaman anak benih ISR," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, teknologi ISR dihasilkan melalui penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI dengan menggabungkan teknologi ISR dan amalan-amalan perladangan baik, kawalan penyakit dan perosak serta amalan lepas tuai sedia ada

"Penggunaan teknologi ini mampu meningkatkan hasil pisang sehingga 35 peratus kerana ia telah diuji dan terbukti mampu mengawal penyakit darah pisang sehingga 92 peratus.

"Pendekatan ISR ini juga sesuai diguna pakai untuk penghasilan pisang secara konvensional dan organik untuk kegunaan makan segar dan masakan," tambahnya.

Keadaan kebun pisang yang diusahakan Muhammad Amin yang ditenggelami banjir pada 26 Januari lalu selama tiga hari.

Sementara itu, Muhammad Amin bersyukur dan akan memanfaatkan sumbangan benih pokok serta teknologi ISR yang diajar oleh MARDI.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban keluarga saya lebih-lebih lagi isteri saya baru sahaja melahirkan anak sulung perempuan kami pada akhir bulan Januari lalu.

"Musibah yang melanda mungkin ada hikmahnya kerana bukan sahaja saya dapat benih-benih pisang yang berkualiti. Lebih penting saya dapat ilmu penanaman dan penjagaan pokok yang baik bagi membolehkan saya menghasilkan buah pisang yang bermutu secara berterusan dalam jangka panjang," ujarnya.