NEW YORK - Sebahagian besar pengundi Amerika ragu-ragu terhadap tahap kesihatan mental Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan calon pencabarnya, Donald Trump untuk berkhidmat bagi penggal kedua, menurut tinjauan Quinnipiac University yang diterbitkan pada Rabu yang dipetik oleh Agensi Berita Jerman ( dpa).
Sebanyak 64 peratus responden berkata, Biden tidak sihat dari segi mental untuk berkhidmat satu penggal lagi, namun data tinjauan mendapati beliau masih menguasai kedudukan teratas dalam banyak tinjauan pendapat lain.
Sementara itu, 51 peratus pengundi pula berkata, Trump juga didapati tidak sihat dari segi mental untuk penggal kedua.
Biden, 81, menjadi tumpuan selepas laporan Peguam Khas Robert Hur bulan ini mencirikan beliau sebagai"lelaki tua yang lemah ingatan", namum tidak menunjukkan tanda-tanda akan menarik diri daripada kempen pemilihan semula.
Ketika Biden mara untuk pencalonan presiden mewakili Parti Demokrat, Trump, 77, pula bertanding bagi pencalonan Republikan dan kini mendahului kedudukan dalam tinjauan pendapat umum.
Tinjauan nasional Quinnipiac menunjukkan Biden mendahului Trump dengan empat mata.
Sementara itu, tinjauan pendapat Economist/YouGov yang diterbitkan pada Rabu menunjukkan Biden berada satu mata di belakang Trump.
Banyak tinjauan lain menunjukkan Trump mendahului Biden, namun memandangkan hari pemilihan masih berbaki 250 - hari lagi, pendapat umum mungkin bakal menyaksikan perubahan yang ketara. - Bernama