KUALA LUMPUR - Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) edisi 2024 yang berlangsung di Pasar Seni di sini dari 22 sehingga 25 Februari ini dijangka mendapat sambutan lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ini dapat dilihat dengan kehadiran orang ramai yang luar biasa pada hari pertama KLAB membuka tirainya hari ini walaupun semasa hari bekerja.
Diadakan pada cuti sekolah, pesta buku itu membolehkan golongan pelajar mengunjungi acara yang mengumpulkan penerbit, penulis, penggiat dan peminat perbukuan di sekitar Lembah Klang ini.
Kira-kira 50 pempamer menawarkan pelbagai diskaun hebat kepada pengunjung termasuk Grup Buku Karangkraf yang menawarkan pelbagai buku edisi terhad pada harga luar biasa.
Ketua Jualan Langsung Karangkraf Mall, Nurulasikin Nordin berkata, pihaknya mengadakan promosi harga paling jimat bagi koleksi novel Gerbang Puaka dan novel seram.
"Tiga naskah novel koleksi Gerbang Puaka hanya RM30 apabila membeli secara kombo di KLAB dan mereka dapat jimat sebanyak RM12, begitu juga dengan novel seram tiga naskah hanya RM65," katanya.
Tambahnya, harga promosi dan diskaun itu hanya ditawarkan sepanjang berlangsungnya KLAB di Pasar Seni sahaja.
Sementara itu, jurucakap penganjur KLAB 2024, Amir Muhamad berkata, KLAB pada 2022 dan 2023 diadakan di ruang legar Pasar Seni mendapat sambutan yang menggalakkan.
Menurutnya, KLAB 2022 menerima kehadiran kira-kira hampir 30,000 pengunjung dan KLAB 2023 pula lebih 50,000 pengunjung dan edisi kali ini dijangka mendapat sambutan yang lebih baik.
"KLAB 2024 diadakan empat hari iaitu pada 22 sehingga 25 Februari. Penganjur menyasarkan kehadiran pengunjung lebih tinggi iaitu seramai 60,000 orang pada tahun ini," katanya.