Piala Asia B-23: FAM sasar suku akhir

Iklan
Hamidin. Foto Bernama

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyasarkan skuad Bawah 23 tahun (B-23) mara ke suku akhir Piala Asia B-23 di Doha, Qatar pada 15 April hingga 3 Mei depan.

Beliau meletakkan sasaran tersebut selepas membuat penilaian ke atas pasukan-pasukan yang bertanding pada edisi kali ini, sekali gus peluang skuad Harimau Muda untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 Paris adalah tipis.

Iklan
Iklan

"Sebagai Presiden FAM kalau kita dapat masuk ke Sukan Olimpik Paris ia akan menjadi satu kejayaan besar.

"Kita perlu ingat untuk skuad senior kejohanan paling besar adalah Piala Dunia, manakala untuk skuad B-23 pula adalah ke Olimpik," katanya kepada media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Khamis.

Iklan

Sebagai rekod, skuad Harimau Muda berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 selepas muncul empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam aksi kelayakan.

Mereka diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dengan mereka akan membuka kempen berdepan Uzbekistan pada 17 April.

Iklan

"Saya ada buat research sendiri di mana Uzbekistan mempunyai tujuh pemain yang beraksi pada Piala Asia 2023 baru-baru ini.

"Vietnam pula mempunyai sembilan pemain B-23 yang beraksi di Piala Asia baru-baru ini selepas ramai tonggak utama mereka cedera, jadi kita perlu sedar tahap kita.

"Apa-apa pun kita perlu berikan yang terbaik dan penting untuk kita layak sekurang-kurangnya ke suku akhir,” ujar Hamidin.

Jika skuad muda negara berhajat layak ke Olimpik, mereka perlu mara ke peringkat separuh akhir yang mana tiga pasukan teratas akan layak secara automatik, manakala pasukan keempat perlu bermain perlawanan 'play-off'.

Dalam pada itu, Hamidin memberitahu, skuad bimbingan Juan Torres Garrido akan mengharungi sekurang-kurangnya enam perlawanan persahabatan sebagai persiapan sebelum mengharungi Piala Asia B-23.

Beliau menjelaskan, tiga aksi akan berlangsung di Malaysia sama ada di Stadium Kuala Lumpur, Cheras atau Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala tiga perlawanan lagi di Qatar.

Tambahnya, setakat ini dua pasukan sudah mengesahkan tawaran tersebut iaitu menentang India di Malaysia dan pasukan kebangsaan Qatar di Doha.

"Semalam (Rabu) kita sudah sahkan skuad muda akan menentang India dan dua pasukan lagi di sini (Kuala Lumpur) sebelum pergi ke Qatar awal untuk menentang pasukan tuan rumah dan dua lagi aksi dengan salah satunya mungkin Jepun.

"Satu lagi perlawanan di Doha adalah dengan pasukan yang tiba awal untuk kejohanan itu nanti,” katanya.