KUANTAN -"Setakat ini sudah lima individu menghubungi dan mendakwa wang itu milik mereka," kata Mohd Azfarul Zainol Akmar, 35, selepas dia menjejaki pemilik sekeping wang kertas bernilai RM50 yang tertera 'Duit last ayah bagi,11/5/20 al-Fatihah'.
Mohd Azfarul berkata, selepas perkara itu tular di media sosial, beberapa individu telah menghubunginya antaranya seorang wanita dari Jabor, Kemaman mendakwa wang tersebut tidak digunakan sebaliknya hilang.
"Wanita itu menghubungi saya menerusi pesanan di Facebook kira-kira jam 3.30 petang Rabu.
"Wanita itu juga memberikan bukti menerusi Instagram pada tarikh tersebut, 11 Mei 2020 kematian ayahnya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Duit last ayah bagi', pemilik wang RM50 dijejaki
Ujarnya, buat masa ini dia sedang menapis dan meneliti dakwaan individu-individu terbabit sebelum bertemu serta menyerahkan wang terbabit.
Sebelum itu, Mohd Azfarul yang juga seorang pekerja swasta memperoleh wang itu mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Gambang kira-kira jam 4.15 petang pada Isnin.
Dia juga berharap pemilik wang itu dapat dijejaki dan berjanji tidak akan menggunakannya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28