GEORGE TOWN - Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) bersetuju menyuntik dana tambahan sebanyak RM5 juta bagi menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan bumiputera di Pulau Pinang.
Dana itu menerusi Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang (TPBPP) yang diuruskan oleh Co-opbank Pertama (CBP).
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, MPBPP bersetuju dengan beberapa cadangan penambahbaikan terhadap skim TPBPP sedia ada bagi memudahkan pemilikan hartanah oleh bumiputera di Pulau Pinang.
Menurutnya, di samping tambahan dana itu, skim pembiayaan perumahan itu juga ditambah baik dengan had pendapatan isi keluarga pemohon dinaikkan daripada RM3,000 kepada maksima RM12,000 sebulan.
Kata beliau, jumlah had pembiayaan hartanah juga telah dipersetujui dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM300,000.
"Kenaikan jumlah had pembiayaan ini sedikit sebanyak dapat membuka pilihan kepada para pelanggan dalam memilih bentuk kediaman yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
"CBP sebagai sebuah bank koperasi yang mula bertapak di Pulau Pinang, amat berbesar hati dengan mandat yang telah diberikan oleh MPBPP bagi menjayakan skim pemilikan perumahan bumiputera ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Khairil Anuar berkata, ia selari dengan objektif penubuhan TPBPP yang diwujudkan pada 27 Februari 2012 iaitu membantu bumiputera yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.
"Selain itu, tujuan TPBPP juga adalah meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera di Pulau Pinang dengan mengambil kira faktor persekitaran pemilikan rumah di negeri ini," katanya.
Ujarnya, sebelum ini, MPBPP telah memperuntukkan RM14.59 juta kepada CBP yang dioperasikan secara dana pusingan (rolling-fund).
"Ia disalurkan secara berperingkat sebanyak RM5 juta pada 2012 serta RM9.59 juta pada Mac 2014 dengan jumlah penerima manfaat ini melebihi 300 orang bumiputera setakat ini.
"Orang ramai boleh membuat permohonan di semua cawangan CBP di Pulau Pinang bermula 1 Julai depan dan permohonan ini hanya terbuka kepada bumiputera dan terhad bagi pembiayaan hartanah di Pulau Pinang sahaja," katanya.