KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi bercadang untuk membangunkan satu sistem asas supaya pemilik berita atau pencipta kandungan boleh membuat aduan sekiranya kandungan itu digunakan tanpa kebenaran.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana bahan berita yang diambil dan ‘dicedok’ lalu dimuat naik tanpa kebenaran akan mengakibatkan maklumat itu disalah tafsir atau diubah suai seolah-olah ia dilaporkan oleh media asal.
"Saya melihat kita perlu ada satu sistem asas dengan pemilik asal kepada berita itu boleh membuat aduan, sebagai contoh, kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) supaya boleh diambil tindakan.
”Jadi di sini (sistem ini) belum lagi kita wujudkan, tetapi insya-Allah boleh dibangunkan satu sistem yg mudah supaya kandungan hak cipta itu dapat kita jamin untuk mereka yang telah menghasilkannya,” katanya pada sidang media selepas program Maxis 5G-Advanced Trial Showcase, hari ini.
Mengenai isu lain, Fahmi menegaskan bahawa versi terkini Kod Etika Wartawan Malaysia tidak akan menyekat kebebasan media di negara ini sambil menafikan dakwaan bahawa kod itu adalah percubaan untuk mengawal kebebasan media dan bersuara.
Malah, beliau berkata, beberapa komen mengenai versi semakan kod itu adalah tidak adil terhadap Jabatan Penerangan (JaPen) dan Institut Akhbar Malaysia (MPI), yang telah merangkanya.
"Jika anda melihat kod etika asal, ia termasuk frasa seperti membendung komunisme yang tidak lagi menjadi isu di Malaysia kerana ia tidak lagi wujud. Jadi ia agak anakronistik.
"Jika anda membandingkan (kod asal dan kod yang disemak) ia hampir sama, masih terdapat lapan perkara utama dalam dokumen. Tiada kaitan dengan mengekang kebebasan media,” tambahnya.
Fahmi berkata, kod itu perlu dikemas kini terutama dalam era kecerdasan buatan, blog dan media dalam talian yang belum wujud apabila kod asal itu diperkenalkan.
Kod Etika Wartawan Malaysia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan (JaPen) dan menggariskan lapan tanggungjawab utama wartawan.
Selain sebagai suara masyarakat majmuk dan agen pemudah cara dialog, wartawan juga perlu telus dan berintegriti ketika menjalankan tugas.
Wartawan juga digalakkan supaya konsisten berlaku adil dalam menyampaikan maklumat dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28