SHAH ALAM - Universitas Putra Indonesia (UPI) mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf dalam usaha mengenali dan memahami struktur pengurusan operasi syarikat berkenaan dengan lebih mendalam.
Rektor UPI, Profesor Dr Sarjon Defit berkata, pihaknya kagum dengan operasi yang dikendalikan seluruh syarikat penerbitan, media cetak serta digital di bawah naungan Karangkraf iaitu jenama tempatan terbesar di negara ini.
"Alhamdulillah kami disambut dengan sangat baik dan luar biasa, selama ini kami hanya melihat cetakan buku atau majalah sahaja.
"Tetapi, hari ini kami melihat secara langsung proses cetakan al-Quran, ia merupakan satu inovasi yang dilakukan oleh Karangkraf dalam menghadapi segala perubahan lebih-lebih lagi pasca Covid-19.
"Kami rasa berbangga kerana Karangkraf menjadi lebih baik terutamanya percetakan al-Quran yang sudah merentasi dunia,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan kompleks, di sini pada Khamis.
Kunjungan yang disertai seramai 73 pelajar dan 18 pensyarah itu dimulakan dengan lawatan ke studio My #QuranTime, Karangkraf Mall, bilik berita Sinar Harian serta kilang pengoperasian akhbar, Ultimate Print Sdn Bhd.
Hadir sama, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pengurus Karya Bestari Sdn Bhd, Ahmad Yani Abd Manaf; Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf; Hashim Anang serta Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.
Sementara itu, pelajar bidang psikologi dari UPI, Fahada Yusra memaklumkan, kesan pertama saat melangkah masuk ke premis tersebut adalah rasa kagum dengan kaedah percetakan dan pemprosesan al-Quran terbitan Karya Bestari yang dijalankan secara rutin.
Tambahnya, Karangkraf memudahkan golongan kurang celik al-Quran untuk memahami bahasa Arab dengan lebih mendalam menerusi terjemahan Melayu dan Inggeris yang tepat, benar serta berkesan.
"Ini merupakan kali pertama saya melihat proses cetakan dan penghasilan al-Quran yang berskala besar sehingga dipasarkan bukan sahaja dalam Malaysia, malah seluruh pelusuk dunia,” ujar gadis berusia 22 tahun terbabit.
Pelajar program Kejuruteraan Komputer, Juan Wijaya Rahmatullah, 21, juga teruja apabila dapat melihat sendiri bahawa syarikat penerbitan dan media di bawah Karangkraf sememangnya popular serta menjadi penyumbang informasi yang dipercayai masyarakat di negara ini.
"Mereka memberikan informasi dengan tepat, berkelas dan tidak berat sebelah kepada orang ramai yang pada akhirnya akan memberikan perspektif meluas.
"Ia kerana penyebaran maklumat sangat memberi kesan kepada semua golongan tidak kira kanak-kanak, remaja mahupun dewasa.
"Kami sebagai mahasiswa dari Padang, Indonesia sangat terkesan dengan media Sinar Harian yang tidak hanya memfokuskan isu dalam negara, tetapi global juga,” jelasnya lagi.