JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 47 warga asing dalam Op Belanja dan Op Kutip di sebuah pasar raya di sini, selepas menerima aduan awam mengenai kewujudan warga asing bekerja di situ.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, operasi yang dijalankan pada jam 9.20 pagi Rabu itu, disertai 80 pegawai bahagian penguat kuasa negeri, pegawai Bangunan Sultan Iskandar (BSI) JIM Johor.
"Operasi hasil risikan selama seminggu setelah menerima maklumat awam. Seramai 123 warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India termasuk warga tempatan diperiksa.
"Dalam operasi ini, seramai 47 warga asing terdiri daripada 25 warga Indonesia, Myanmar (18), Bangladesh (2), seorang India berusia lingkungan 22 hingga 59 tahun ditahan.
"Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang merupakan majikan di pasar raya tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Baharuddin berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Semua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) iaitu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Ada juga warga asing ditahan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
"Manakala seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/1963 kerana melindungi pendatang asing," ujarnya.
Tambahnya, sebanyak 10 notis dikeluarkan kepada individu-individu terlibat bagi membantu siasatan.
"Kita juga menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
"JIM tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi menangkap PATI serta majikan yang masih berdegil,” katanya.