MELAKA - Taman Tema Melaka Wonderland Theme Park and Resort di Ayer Keroh di sini, menafikan berlaku kes kehilangan kanak-kanak di taman tema air itu pada Selasa lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland Theme Park and Resort, Seow Cheng Swee berkata, pengumuman kehilangan anak yang dilakukan dalam tema itu hanyalah perkara biasa seperti mana yang sering didengari di pusat membeli-belah dan pasar raya.
Menurut Cheng Swee, beliau tidak menolak keadaan itu berlaku disebabkan pihaknya menerima pengunjung di luar jangkaan mencecah 7,700 orang yang mengambil kesempatan dengan tawaran masuk percuma sempena hari cuti umum.
Beliau berkata, diharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat berhubung taman tema tersebut yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
"Bukan hilang, cuma mungkin ibu bapa terlepas pandang anaknya, kalau betul hilang mesti sudah ada laporan polis.
"Lagipun bukan mudah untuk kita kawal keadaan dengan pengunjung ramai," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Cheng Swee berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengunjung yang memilih taman tema tersebut serta bersabar sepanjang berada di kawasan terbabit dengan kehadiran orang ramai.
Terdahulu tular di Facebook memaparkan video taman tema air di Melaka yang sangat sesak dengan pengunjung sehingga ada pengumuman budak hilang.
Keadaan itu didakwa berlaku pada hari memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28