JITRA - Seorang anggota tentera maut manakala lima lagi cedera selepas lori tentera yang membawa muatan catuan makanan terbabas di Jalan Kampung Bukit Kechik, Changlun di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintenden Chien Chunng Tsaur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan jalan raya melibatkan lori tentera itu pada jam 1.30 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sewaktu pemandu tentera berusia 29 tahun yang bertugas di Kem 5 Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam memandu dari arah Kem Askar Wataniah (513 AW) Kepala Batas menghala ke Markas 30 Briged di Kem Bukit Cowder di Perlis dengan lori yang membawa muatan catuan makanan.
"Sebaik sampai di lokasi kejadian, lori tentera terbabit dipercayai mengelak sebuah kereta nombor pendaftaran tidak pasti yang bergerak dari arah bertentangan.
"Lori tentera terbabit cuba mengelak ke kiri namun kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas sendiri jatuh ke bawah cerun ladang kelapa sawit yang berada di sebelah kiri jalan disebabkan jalan raya yang sempit dan bahu jalan tidak berturap," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Chunng Tsaur memaklumkan, kemalangan tersebut mengakibatkan lori tentera itu terbalik dalam keadaan keempat-keempat tayar berada di atas.
Beliau menambah, seorang daripada lima penumpang belakang yang mengalami kecederaan disahkan maut di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Forensik Hospital Jitra untuk tujuan bedah siasat.
"Seorang mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jitra, manakala empat lagi dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.