'Membesar bersamanya satu pengalaman yang hebat' - Mahmud Abu Bekir

Iklan
Suasana istiadat pengebumian Abdul Taib di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya, hari ini. - Bernama

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Bekas Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud merupakan seorang yang sangat komited terhadap kerja, kata anak lelakinya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.

Mahmud Abu Bekir yang mengimbau kenangan bersama Abdul Taib berkata, bapanya selalu pulang lewat dari kerja dan tugas menjaga anak-anak dipikul ibu mereka, Allahyarham Datuk Patinggi Puan Sri Laila Taib.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, walau sepenat mana sekalipun, Abdul Taib akan cuba meluangkan masa bersama anak-anaknya.

"Setiap kali beliau pulang, mukanya nampak penat, namun beliau sempat membawa kami menonton wayang atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas istiadat pengebumian jenazah Abdul Taib di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya di sini hari ini.

Iklan

Mahmud Abu Bekir berkata, Allahyarham bapanya pernah tertidur di dalam panggung wayang hingga berdengkur sewaktu menonton filem pertarungan Wuxia.

"Beliau penat, namun kerana kasihnya terhadap kami, beliau sanggup meluangkan masa biarpun tertidur hingga berdengkur. Itu lah ayah saya,” katanya.

Iklan

Mahmud Abu Bekir berkata, Allahyarham bapanya seorang yang sangat tegas dan berdisiplin, namun takut untuk menguruskan anak-anak di bawah usia enam tahun kerana tidak pandai menukar lampin dan menyuap bayi makan.

Menurut Mahmud Abu Bekir, Abdul Taib selalu berpesan kepada beliau dan adik-beradiknya supaya berusaha keras dan tiada alasan untuk mereka tidak berbuat demikian.

"Namun, ada juga sisi lembutnya, beliau akan kata okey kalau gagal, tetapi yang lebih penting tahu bagaimana untuk bangkit semula. Pengajarannya kita jangan lari atau tidak berbuat apa-apa sebaliknya bangkit semula. Saya fikir itu yang berlaku dalam kerjaya politik bapa saya,” katanya.

Mahmud Abu Bekir berkata, Allahyarham bapanya kerap mempunyai tugas luar memandangkan menjawat jawatan menteri dalam Kabinet Persekutuan.

Jenazah Abdul Taib disemadikan bersebelahan dengan pusara Laila, yang meninggal dunia akibat barah pada 29 April 2009.

Pagi tadi, jenazah dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan rakyat, orang kenamaan dan anggota Kabinet memberi penghormatan terakhir. Solat jenazah kemudian diadakan di Masjid Demak berdekatan dengan kediaman Allahyarham.

Abdul Taib, yang digelar Bapa Pemodenan Sarawak meninggal dunia pada usia 87 tahun di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi semalam.

Kerajaan negeri memberikan penghormatan penuh dengan mengisytiharkan berkabung selama dua hari bermula semalam, dan bendera di seluruh Sarawak dikibarkan separuh tiang dengan semua acara hiburan ditangguhkan. - Bernama