SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengumumkan perkembangan terkini usaha pengasingan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya selepas penubuhan dua pasukan petugas khas September lalu.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Dr Muhammad Mohan berkata, ketelusan menjayakan reformasi itu amat diperlukan bagi memberi gambaran kesungguhan kerajaan terhadap usaha tersebut, sekali gus mengelakkan timbul persepsi negatif rakyat.
"Menteri kata dua pasukan dibentuk, rakyat dan NGO (badan bukan kerajaan) perlu diberitahu apakah perkembangan terkini dalam kajian, sama ada setuju atau mengapa kos (pengasingan kuasa) tinggi sangat.
"Saya difahamkan kos untuk melakukan proses ini pada mulanya RM200 juta (namun) kini kami difahamkan (mencecah) RM600 juta. Ini amat membimbangkan kerana tiada penjelasan bagaimana kos tersebut meningkat.
"Kita tahu dua kementerian iaitu (Kementerian) Komunikasi dan Digital telah diasingkan, ini satu kementerian baharu dan bayangkan kos yang perlu dilibatkan manakala di Jabatan Peguam Negara, dua pihak sudah berada di situ (iaitu) kumpulan pendakwa raya dan Peguam Negara," katanya dalam program Interviu: Peguam Negara bukan Pendakwa Raya yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Program siri kedua yang berlangsung di Kompleks Karangkraf itu dihoskan Haizir Othman.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor mengumumkan penubuhan dua pasukan petugas khas iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal bagi mempercepatkan usaha pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
Azalina turut berkata, reformasi berkenaan merupakan satu proses yang panjang namun tetap menjadi pertimbangan utama kerajaan untuk memastikan proses pendakwaan dapat dilakukan dengan lebih telus dan bebas.
Sementara itu Muhammad turut mengakui sebarang reformasi melibatkan undang-undang memerlukan pindaan atau perubahan dalam Perlembagaan, namun ia tidak mustahil untuk dilaksanakan.
"Jika dahulu semasa PH (Pakatan Harapan) memerintah pada 2018-2019, mereka tidak cukup sokongan majoriti dua per tiga di Parlimen, tetapi kerajaan hari ini ada jumlah itu dan jangan sia-siakan peluang tersebut.
"Sekiranya reformasi itu tidak dapat dilaksanakan, maka kerajaan perlu telus dan nyatakan sebab, tidak boleh hanya berdiam diri.
"Kami mahu tahu perkembangan sahaja. Masalah di negara ini apabila ada satu inisiatif diumum kerajaan, ia tidak diberi perkembangan terkini dan ia boleh menyebabkan ramai bimbang, sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak," ujarnya.