Menanti strategi kerajaan kukuhkan semula ringgit

Iklan
Apabila nilai ringgit jatuh, kesannya kepada rakyat bukan sahaja melibatkan ekonomi, malah menular kepada isu sosial. Foto hiasan

KEJATUHAN nilai ringgit terus menjadi topik berdebatan. Rata-rata rakyat Malaysia sudah mula rasa bimbang apabila nilai ringgit menghampiri paras terendah ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1998.

Apabila nilai ringgit jatuh, kesannya kepada rakyat bukan sahaja melibatkan ekonomi, malah menular kepada isu sosial.

Iklan
Iklan

Rakyat akan tertekan dengan harga barangan naik dan risiko kehilangan pekerjaan apabila banyak syarikat gulung tikar.

Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour pada Selasa menjelaskan bahawa prestasi semasa ringgit dipengaruhi oleh faktor luaran sama seperti mata wang serantau lain.

Iklan

Sebahagian daripada faktor itu termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.

Beliau bagaimanapun berkata, prestasi ringgit ketika ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa hadapan dan diyakini terus meningkat dalam tahun ini.

Iklan

Namun, penjelasan Abdul Rasheed masih belum dapat meredakan kebimbangan ramai. Kerajaan terus jadi sasaran kritikan, malah didakwa tidak serius menangani isu ringgit ini.

Justeru, persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula minggu depan merupakan platform terbaik untuk Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan situasi semasa ekonomi negara terutama kedudukan ringgit yang semakin merosot.

Semua pihak perlu memberi ruang kepada kerajaan membentangkan langkah atau strategi-strategi mengukuhkan kembali kemerosotan nilai ringgit ini. Paling penting rasa panik rakyat dapat diredakan.

Cuma apa yang diharapkan agar sesi penerangan nanti berjalan secara harmoni, tidak dijadikan ruang untuk menuding jari, menyalahkan satu sama lain yang tidak membantu menyelesaikan masalah.

Sementara itu, dalam menghadapi situasi getir ini, rakyat Malaysia juga boleh bersama-sama negara ‘berkorban’ sedikit untuk mengukuhkan prestasi ekonomi negara.

Seperti saranan pakar ekonomi, rakyat Malaysia sepatutnya melancong lebih kerap di dalam negara agar tiada aliran wang keluar negara, sekali gus menyokong peniaga-peniaga tempatan. Mungkin kempen ini boleh dimulakan di peringkat ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28