SHAH ALAM - Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad) perkukuh nilai integriti menerusi program ‘Integriti Hub Training’ yang dianjurkan dengan kerjasama Rasuah Busters.
Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Aset SIRIM Berhad, Mohd Salleh Drus berkata, pihaknya mahu mendedahkan kepada para petugas tentang jenis salah laku rasuah agar petugas di jabatan itu terhindar daripada jenayah tersebut.
"Jabatan Pengurusan Aset banyak menjalankan urus niaga dengan para kontraktor. Kami mungkin terdedah kepada amalan yang mampu menjerat ke kancah dunia suapan.
"Jadi dengan adanya SIRIM Integriti Hub Training ini, ia mampu memberi pendedahan kepada petugas di jabatan selian saya untuk lebih memahami bahana gejala rasuah,” katanya ketika ditemui pada Khamis di ibu pejabat SIRIM.
Pada masa sama, beliau mahu mewujudkan satu suasana kerja yang kondusif dalam kalangan petugas.
Menurut Mohd Salleh, pihaknya tidak mahu melihat kakitangan SIRIM dipandang negatif seolah-olah melakukan jenayah rasuah kerana menjalankan urus niaga dengan kontraktor.
"Saya tidak mahu mereka (petugas) yang bekerja bersungguh-sungguh tetapi tetap dipandang serong kerana tanggapan melakukan rasuah.
"Justeru, program ini diadakan sebagai salah satu usaha Jabatan Pengurusan Aset untuk membuktikan bahawa kami mempunyai nilai integriti tinggi dalam menolak amalan rasuah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, Integriti Hub Training bersama SIRIM ini diadakan dengan tujuan menghalang sebarang potensi ke arah rasuah yang mungkin berlaku khususnya di Jabatan Pengurusan Aset.
Jelas Nurhayati, pendedahan program itu bukan sahaja memberi fokus terhadap pekerjaan semata-mata malah individual kerana ia boleh diterapkan dalam konteks keluarga dan kemasyarakatan.
"Kita berharap kesemua kakitangan ini sentiasa bersama-sama dalam misi memerangi rasuah dengan Rasuah Busters dan memegang prinsip Rukun Negara.
"Bukan itu sahaja, kita juga mempunyai impian untuk kembali kepada sistem kepercayaan dalam membangunkan syarikat, keluarga dengan mengukuhkan jati diri menerusi integriti dan nilai tinggi yang dibawa melalui perkataan, pemikiran dan tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih Rasuah Busters, Mohd Jamil Abdul Wahab berkata, beliau menjadikan surah al-Bayyinah sebagai panduan untuk membina karakter diri.
Menerusi surah berkenaan, beliau menjelaskan, terdapat tiga intipati yang mampu membentuk jati diri seorang pekerja baik iaitu mempelajari ilmu dan berkongsi, menyucikan diri serta berprinsip.
"Ketiga-tiga nilai itu boleh dijadikan sebagai solusi untuk SIRIM dalam mencapai misi syarikat,” ujar beliau.
Berkongsi mengenai maklum balas terhadap Integriti Hub Training, jurulatih Rasuah Busters, Mohd Zikrul Hakim Noor berkata, rata-rata peserta merasa selesa dengan kaedah penyampaian yang bersahaja sekali gus memudahkan untuk proses pemahaman mengenai integriti.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28